Wednesday, September 17, 2008

'IDUL FITRI DAN CARA MERAYAKAN

Lafaz Takbir Hari Raya.




Maksud takbir :

"Allah maha besar. Tiada tuhan melainkan Allah, kami tidak menyembah kecuali kepada-Nya, dengan ikhlas untuk agama (Islam), walaupun dibenci oleh golongan yang menyekutukan Allah.

"Tiada tuhan melainkan Allah Yang Esa yang benar janji-Nya, yang memuliakan tentera-tenteraNya (tentera Muslimin) yang menolong hamba-Nya (dengan) mengalahkan tentera Ahzab (tentera bersekutu yang diketuai oleh kaum musyrikin serta kaum Yahudi dan Nasrani) dengan keesaan-Nya."

"Tiada tuhan melainkan Allah yang Maha Besar Allah Yang Maha Besar dan untuk Allah-lah segala puji-pujian."



‘Hari Raya Puasa’ atau ‘Hari Raya Fitrah’ dikenal di dalam istilah Fiqh dengan nama ‘Idul Fitri’.

‘Id bererti perayaan. Fitri pula bermakna berbuka. Maksudnya, pada hari raya (tanggal 1 Syawal) umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.

Fitri juga bermaksud tabiat semula jadi. Maksudnya, orang-orang Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan disertai dengan ibadah-ibadah lainnya telah melebur dan membersihkan segala dosa sehingga keadaan diri mereka seolah-olah kembali seperti bayi yang baru lahir(fitrah).

Berdasarkan penerangan di atas, dapat kita simpulkan bahawa ‘Idil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat lslam, yang berjaya menundukkan nafsu sepanjang sebulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa, dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertaqwa. Inilah matlamat daripada ibadah puasa.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183).

‘Idil Fitri hendaklah disambut dengan acara-acara yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah, iaitu: Membanyakkan Ucapan Takbir

Firman Allah:

“Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (AlBaqarah : 185)

Sabda Rasullullah s.a.w. pula: “Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid.”

Takbir hari raya itu terbahagi kepada dua:

Takbir Mursal:

Waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat ‘Id didirikan pada esok hari.

Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya.

Demikian juga bagi Takbir ‘Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat ‘Id Al-Adhha dilaksanakan.

Takbir Muqaiyad:

Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas Asar 13 Zulhijjah.

Cara bertakbir, maka ia adalah umum sebagaimana keumuman dalil yang menganjurkannya. Oleh itu bertakbir boleh secara bersendirian atau berkumpulan, sama ada secara serentak atau dipimpin oleh seseorang.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, pertama kegembiraan ketika mereka berbuka dan kedua kegembiraan mereka ketika bertemu dengan Tuhannya yang Maha Pemurah.”

Kemuliaan Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh kerana itu kita Umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan Malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda “Barangsiapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang kafir yang ingkar pada hari kiamat.”

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyarakkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah SWT hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadhan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Walaubagaimanapun kekeliruan terhadap Aidil Fitri di kalangan umat Islam menyebabkan hari ibadah sudah bertukar menjadi tradisi, hampir menyamai tradisi kaum lain yang menyambut hari raya mereka yang merupakan pesta atau majlis hiburan.

Marilah kita hidupkan malam Aidil Fitri dengan ibadah bukan dengan hiburan. Bergembira di hari raya selalu disalah ertikan. Kita sepatutnya gembira dengan menunjukkan kesyukuran dan membesarkan Allah dengan takbir dan tahmid. Bukan dengan muzik, nyanyian, tarian dan bunyian mercun.


2 comments:

wan nadeera said...

Tahniah atukh mula kerja semula.moga rezeki yang mendatang lebih mencurah-curah dan diberkati Allah.

yaqin said...

daddy,,alhmdulillh kc rase peringatan yg paling baik utk kc adalah diperenngan ke2terakhir..iALLAHarticle dad ni sgt berguna untk menjelaskn kepada sahabat2 yg masih belum menerima islam ini untuk menggambarkan keindhn agama ini dan meluruskn semula konsep puasa untuk kc..puasa bkn utk lapar dahaga tapi utk melahirkan sifat mulia spt malaikat dlm diri..ia sebuah madrasah=)