Monday, September 29, 2008

Keutamaan Puasa 6 di Bulan Syawal



Daripada Abu Ayub bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa pada Ramadan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari pada Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini menjadi dalil puasa enam Syawal adalah sunat sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Orang yang berpuasa Ramadan diikuti puasa sunat enam hari pada Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun.



Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut.

Puasa Syawal berfungsi sebagai penyempurna daripada kekurangan.
Seseorang yang hendak berpuasa sunat pada Syawal adalah lebih lebih baik berturutan seperti puasa Ramadan, tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

Cara berpuasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara berselang hari asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Justeru puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan tidak pada pertama Syawal dan masih di dalam bulan Syawal.

Walaubagaimana pun puasa enam adalah lebih baik disegerakan pelaksanaannya berdasarkan kepada firman Allah s.w.t.:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.”
[Surah Ali Imran 3:133]


Kelebihan puasa enam hari pada Syawal, Ia sebagai tanda diterima puasa Ramadan yang kita laksanakan. Ibadah ini juga sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang diberikan pada Ramadan seperti nikmat kesihatan tubuh badan, ganjaran berlipat kali ganda, Lailatulqadar, ganjaran bersahur, berbuka puasa dan sebagainya..

Oleh itu, antara tanda kesyukuran yang dapat dipamerkan daripada seorang hamba ke atas pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan kepadanya adalah dengan berpuasa enam. Sebaliknya, jika diganti dengan perbuatan maksiat, maka ia termasuk kelompok orang yang membalas kenikmatan dengan kekufuran. Apabila dia berniat untuk kembali melakukan maksiat lagi, maka puasa radhanya tidak akan terkabul.

Di antara kelebihan-kelebihan puasa enam hari di bulan Syawal itu ialah :

1. Puasa enam umpama solat sunat sabelum dan selapas sesudah salat fardu bagi menampung kekurangan puasa fardu.

2. Puasa enam menjadi tanda diterima puasa Ramadan yang kita kerjakan.

3. Sebagai tanda bersyukur kepada nikmat yang diberikan di bulan Ramadan.

4. Mendapat kebaikan berlipat ganda serta diangkat darjatnya.

Oleh yang demikian marilah kita bersungguh-sungguh berpuasa enam dan merebut peluang yang ada demi mendapatkan kelebihan-kelebihan yang ditetapkan Allah padanya serta inginkan keredaan-Nya.


No comments: