Friday, July 4, 2008

Dosa Lidah : Berbantah-bantahan dan bertengkaran.

Oleh Imam Al Ghazali.

Bencana Lidah keempat: Berbantah-bantahan dan bertengkaran.

Perbuatan dan kelakuan serupa itu adalah terlarang juga dalam agama. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Jangan banyak membantah saudaramu, jangan bersenda gurau dengannya dan jangan membuat janji kepadanya, lalu anda memungkirinya.”



Sabdanya lagi:

Tiada akan sesat sesuatu golongan manusia sesudah diberi Allah petunjuk kepadanya, melainkan bila mereka selalu saja berbantah-bantahan.”

Lagi sabdanya:

“Tiada akan sempurna hakikat keimanan seseorang, sehingga ia meninggalkan berbantah-bantahan, sekalipun apa yang diperbantahkan itu ialah kebenaran.”

Berkata Ibnul Alu Laila: Tiada saya membantah sahabatku, kecuali saya telah mendustakannya ataupun menyebabkan kemarahannya.

Berita-berita yang menunjukkan tercelanya sifat suka berbantah-bantahan dan bertengkar-tengkaran itu banyak sekali, sehingga tidak boleh dikira banyaknya.

Batasan sifat suka berbantah-bantahan itu ialah menyanggah percakapan orang lain dengan melahirkan kekurangan dalam percakapan mereka, sama ada dalam lafaznya atau maknanya, ataupun dalam maksud perbicaraannya. Meninggalkan sifat berbantah-bantahan ialah dengan menjaga diri supaya tidak mengingkari orang lain atau membantahnya. Setiap perbicaraan yang anda dengar andaikata ia memang dari yang benar, maka hendaklah anda mempercayainya. Tetapi jika ia dari yang salah, ataupun dari yang dusta, sedangkan ia tiada pula bersangkut-paut dengan urusan agama, maka hendaklah anda mendiamkan diri saja.

Yang perlu jika berlaku sesuatu perbahasan dalam masalah ilmiah lebih baik anda mendiamkan diri saja, ataupun jika mahu menyoal, soallah sekadar mahu mengambil tahu saja, bukan kerana sebab hendak mengingkar atau menyanggah. Ataupun bertanya dengan lemah-lembut kerana ingin mengetahui duduknya perkara itu bukan dengan tujuan untuk menyangkal atau membantah.

Adapun bertanya dengan tujuan untuk mengalahkan hujah orang lain, menunjukkan kelemahannya, sehingga ia tidak sanggup menjawab, ataupun untuk mengurangi kedudukannya dengan mendedahkan kecacatan dalam perbicaraannya dan menisbahkan kepada kecuaian dan kejahilan dalam percakapannya; maka inilah yang dinamakan pertentangan yang dilarang oleh agama, dan yang tidak akan terlepas dari dosa, kecuali dengan jalan berdiam diri saja.

Sebab utama yang menjadikan seseorang itu bersikap seperti itu ialah kerana hendak meninggikan diri dengan menunjukkan banyak ilmu atau keutamaan, manakala ia menyerang orang lain itu kerana hendak menunjukkan kekurangan dan kecetekan pengetahuan orang yang diserangnya. Kedua-duanya adalah sifat yang membinasakan.

Berbantah-bantahan itu tentu sekali akan menyakiti hati orang lain dan menimbulkan kemarahannya dan memaksa orang yang ditentang itu supaya kembali menyokong percakapannya, sekadar yang boleh, sama ada percakapan itu benar atau batil. Dia akan mengurangi kedudukan orang yang berbicara itu dengan apa cara saja, sehingga terjadilah suatu persengketaan antara dua orang yang berbantah-bantahan itu.

Adapun ubat dan penawarnya, iatu dengan mematahkan perasaan membesar diri, yang muncul dari sebab suka menunjukkan keutamaan diri sendiri. Dan juga dengan menghapuskan sifat buas yang ada pada dirinya, kerana suka merendahkan peranan orang lain dan mengurangkan kedudukannya.


1 comment:

cucu_holmes said...

riwayat hadistnya donk..