Lepas telefon mak, hati ini rasa sangat hiba dan sedih yang teramat sangat, mujurlah aku masih boleh manahan mutiara-mutiara jernih dari berjujuran keluar dari mata aku yang sememangnya sudah bergenang, tapi aku mesti kena tahan juga sebab roommate aku macam tak berape nak sedih jer. Sebenarnya aku dari naik aeroflot lagi sudah tidak senang duduk melihatkan kenderaan udara milik Negara yang akan aku belajar 6 tahun lagi ni. Frankly memang nampak antique ini yang telah mengingatkan aku kepada ucapan seorang Dato’ sewaktu aku belajar dekat INTEC dulu.. ‘Rusia ni keadaannye sama seperti Malaysia pada tahun60-an dulu’.
Sebaik mendarat sahaja di airport Volgograd ini aku sudah berpasang niat untuk menukar semua USD yang masih berbaki dalam wallet aku kepada RUB,namun harapan hanya tinggal harapan apabila sampai di airport Volgograd, terasa seperti kata-kata Dato’ itu sedang terbukti kebenarannya. Pintu keluar dari airport itu hanyalah barisan zink lebar yang disusun menjadi pintu pagar dari kawasan luar lapangan terbang. Apatah lagi tempat menuggu yang berhawa dingin seperti di KLIA atau mungkin seperti di airport Moscow. Akhirnya aku terpaksa memendam sahaja niat murniku untuk menukar matawang USD kepada RUB.
Waktu pertama kali masuk ke hostel, corridor bilik masih belum siap di cat, ketika itu dingding masih berwarna biru yang bertompok –tompok. Jika dibangdingkan dengan intec memang tidak ragu-ragu lagi bahawa asrama cemara-akasia sangat comfort, tetapi pada malam ketibaan, kami disambut baik oleh senior-senior sehinggakan bagasi-bagasi yang berat macam batu itu pun diangkat oleh mereka…Hmm, perkara pertama yang tiada di Malaysia dapat aku lihat dibumi komunis ini, keakraban yang sangat mengharukan. Sungguh, sambutan itu menyebabkan aku lebih berfikiran positif mengenai kehidupan disini.
Hari pertama di university agak memenatkan aku kerana letih memikirkan persoalan yang memenuhi kotak fikiran aku ketika itu iaitu mengenai ‘Adakah aku berada di university of oxford yang usia sudah mencecah beratus tahun?’ Mungkinkah benar seperti yang digambarkan iaitu Malaysia di era 60an? Tiada projector seperti di intec dan mrsm aku dahulu, dan setakat ini aku masih lagi belum bersua walau dengan sebuah computer pun di university ini, keadaan kelas disini memang amat berbeza dengan Malaysia, jika di Putrajaya setiap kelas di sekolah menengah dipenuhi dengan 7 buah computer dan sebuah televisyen 24 inch, papan putih lebar dan projector tapi di university Volgograd ini dipenuhi meja-meja panjang dan kerusi yang bersambung (bench) tak lari seperti di gereja dan papan hitam beserta kapur putih seperti di sekolah rendah. Berkali-kali aku mengingatkan diri untuk tidak terus membanding-bandingkan Rusia dengan Malaysia ,tapi lintasan fikiran tersebut terus bermain-main dalam ruang fikiranku yang kian diulit kesedihan. Benarkah Rusia ini pernah menjadi kuasa besar dunia suatu masa dahulu dan benarkah mereka begitu berteknologi tinggi sehingga dapat menghantar Syed Muzafar ke bulan pada ketika ini dengan pesawat NASA mereka?
Memang menguji ketabahan apabila terpaksa berkongsi tandas lelaki dan perempuan disini, tiada surau dan lelaki dan perempuan perlu solat bercampur dalam satu saf. Surau untuk pelajar yang menganuti agama Islam yang merupakan agama kedua terbesar di Rusia pun hanyalah dibawah tangga beralaskan sebuah karpet panjang. Satu hari sebelum berangkat dulu aku memang sudah berasa ragu-ragu untuk mengembara ke Volgograd ini, tapi untuk menarik diri dari program perubatan di Rusia ini memang adalah sangat mustahil. Hari ini pula bertakbir raya Eid-fitr dalam ruang yang sempit beramai-ramai. Memang sangat mengharukan kerana tiada surau yang besar dan dapat menempatkan ramai para pelajar yang selesa seperti di Malaysia namun aku melihat hikmah yang terselit dicelah kesesakan kami pada malam raya ini yakni ukhwah yang rapat.
Tetap kesedihan aku menjadi-jadi apabila mengenangkan hari esok merupakan hari raya pertama diperantauan tanpa keluarga dan hidangan istimewa, namun yang lebih mengharukan adalah aku tidak berkesempatan untuk menunaikan solat sunat hari raya di masjid bersama-sama dengan muslimin di Volgograd dan bermaafan dengan mereka. Ingin sekali aku melihat sendiri betapa masih ramai manusia diRusia ini yang mempunyai aqidah yang sama denganku. Sebaliknya aku hanya mampu manghabiskan pagi raya didalam kelas Bahasa Rusia hingga ke petang dengan memakai baju raya yang menjadi perhatian masyarakat Rusia disini.
Melihat pada bulan malam ini, aku sangat pasti pasti inilah bulan yang sama yang dapat dilihat di Malaysia, bulan yang sama menyinari ibubapa aku ,bulan yang mengakhiri ramadhan. Inilah kali pertama dalam hidup aku rasa kehilangan dan amat menghargai keluargaku. Sedar tak sedar air mata terus berjujuran tanpa henti, mungkinkah malam “hari kejayaan” ini telah mencetus kesedihan dalam diri yang sudah sememangnya mendung? Sebelum dilihat oleh rakan-rakan akan tangisan ini dan seterusnya menjadi ejekan, aku memaksa diri berhenti menangis dan lantas aku membasuh muka supaya tampak lebih segar.
Perlahan-lahan aku mengatur corak hidup aku dalam minda. Baru aku sedar yang diriku sebelum ke Volgograd ini tidak pernah menghargai apa yang pernah aku nikmati dahulu. Lantas berfikir mengapa perlu aku bersedih dan melayan perasaan yang sememangnya angkara syaitan yang baru sahaja dibebaskan namun sudah Berjaya membuat aku kelesuan semangat. Aku bukanlah tiada keluarga, cuma mereka jauh nun di Malaysia. Mereka sedang bergembira menanti panggilan telefon dari aku di Rusia. Mengapa perlu bersedih sedang aku mempunyai rakan dan sahabat serta seniors yang sangat menghargai dan menyayangi aku dan mereka juga sedang menyambut syawal ini dengan senyuman dan kegembiraan sedang keluarga mereka juga jauh di Asia Tenggara sana. Mengapa aku perlu bersedih setelah memilih negara ini untuk menghabiskan masa muda aku sedang memang aku sudah ketahui keaadaan Negara bekas komunis ini pada peringgakat awal lagi, aku bukan pioneer seperti Abang Syukri yang teruk di belasah sehingga terlantar dihospital dan aku tidak berkesempatan merasai penderitaan duit scholar yang kurang mencukupi pada suatu ketika dahulu. Aku bukanlah terpaksa merempat dicelah-celah batuan bangunan tanpa tilam apatah lagi selimut seperti yang sedang saudara aku alami di Palestin, tapi aku menikmati keadaan bilik yang sempurna dengan tilam yang empuk dan selimut fur yang memanaskan badan ketika malam yang sejuk. Walaupun lampu bilik aku hanya satu yang berfungsi namun ianya jauh lebih baik dari saudara aku di Iraq yang sudah lama bermalamkan kegelapan. Aku menikmati makanan yang dapat mengeyangkan perut, berbanding dengan saudara aku di Lebanon sana yang perlu berusaha dangan lebih gigih atau mungkin tidak berpeluang untuk menikmati makanan akibat teruk dibedil bom-bom ganas yang tidak mengenal mangsa dan ketika.
Kini aku melihat tiada lagi sebab untuk aku tangisi nasib yang telah ditaqdirnya olehNya, dimana Allah mengetahui bahawa aku akan mampu mengatasi segala cabaran yang akan hadir dalam hidup aku di Volgograd ini. Hidupku bukanlah seperti kehidupan manusia di dalam program reality Bersamamu, jadi apa lagi yang aku perlu melainkan semangat dan kerahmatan, seperti yang telah jelas dijanjikanNYA dalam surah al-baqarah ayat 284 yang bermaksud ‘Dia tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala dari kebajikan yang dikerjakannya’.
Ya, kini telah aku pelajari perkara yang paling berharga dalam hidupku, sesungguhnya harta dan keturunan (keluarga) hanyalah perhiasan yang tidak akan kekal dan dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan tapi yang paling mutlaq adalah amal soleh kepadaNya yang tidak pernah tidur dan mati dan sentiasa lebih mengetahui segala sesuatu. Bertawakallah kapadaNya.
Friday, November 2, 2007
Semangat pelajar Malaysia di Volgograd, Russia
-> ABAH & ATUK @ 10:01 AM
1 comment:
Assalamualaikum.
KC janganlah bersedih. Yang lebih penting adalah ilmu dan pengalaman yang akan dijana sementara disana. Long doakan semoga KC dan rakan2 sentiasa dalam keadaan yg selesa & diberkati Allah - sesuai utk menjalani kehidupan dan pengajian yg baik diperantauan. InsyaAllah.
Selamat belajar dan berusahalah bersungguh-sungguh utk menjadi insan yang berguna dan anak yang solehah.
Wassalam.
Post a Comment