Monday, August 4, 2008

Dosa Lidah : Kesalahan yang merbahaya.

Oleh Imam Al Ghazali

Bencana kesembilan belas: Menjaga diri dari kesalahan-kesalahan yang merbahaya

Sayugialah seseorang itu menjaga dirinya daripada kesalahan-kesalahan yang merbahaya dalam kandungan percakapannya, dan berhati-hati supaya tidak terlalai dalam perkara ini, terutama sekali bila membicarakan tentang Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sifat-sifatNya. Misalnya sebagaimana yang diutarakan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. berikut:

“Jangan sekali-kali seseorang kamu berkata: Itu adalah kehendak Allah dan kehendakmu. Tetapi katakanlah: Itu adalah kehendak Allah, kemudian kehendakmu.”



Sebab menggunakan perkataan dan di sini menunjukkan pengertian persyarikatan dengan kehendak Allah Ta’ala dan menyamakan Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan kedudukan manusia. Itu adalah salah dan berlawanan dengan tata penghormatan terhadap Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ibrahim merasa tidak senang bila mendengar orang berucap: Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu. Ataupun jika ada orang berkata: Jika tidak kerana Tuhan dan kerana si fulan…. Berkata demikian adalah salah seperti juga di atas tadi. Tetapi jika ada orang ingin berkata Allah kemudian kepadamu. Ataupun: Jika tidak kerana Allah kemudian kerana si fulan…

Dalam hal ini Ibnu Abbas r.a. berkata: Seseorang kamu boleh bersyirik kepada Allah, ketika ia mensyariatkan anjingnya dalam sesuatu perbuatan. Misalnya ia berkata: Kalaulah tidak kerana anjing kita itu, tentualh kita telah kecurian malam semalam.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab ketika mengulas sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi.

“Sesungguhnya Allah Ta’ala melarang kamu bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa kamu.”

Katanya: Sesudah saya mendengar Hadis itu, saya tidak pernah bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa saya.

Berkata Abu Hurairah r.a.: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Janganlah seseorang kamu mengatakan: Hambaku atau amahku (hamba perempuan). Kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan sekalian wanita kamu adalah amanah Allah. Tetapi katakanlah: Budakku atau jariahku. Begitu juga si hamba itu janganlah mengatakan: Rabbi atau Rabbati* tetapi katakanlah: Tuanku atau puanku, sebab kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan perkataan ar-Rab ialah bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

* Perkataan Rabbun dalam bahasa Arab selain menunjukkan makna Tuhan juga dimaksudkan dengan tuan punya. Jadi perkataan Rabbi atau Rabbati memberikan maksud tuan punya saya atau puan punya saya. Oleh kerana sebutan seperti itu boleh mengelirukan orang, maka Rasulullah s.a.w. telah melarang orang menggunakannya.

Berkata Rasulullah s.a.w.:

“Jangan kamu memanggil orang munafik dengan perkataan Saiyidina (Tuanku), sebab kalau benar ia menjadi tuan kamu, niscaya kamu telah menyebabkan Tuhan kamu murka kepadamu.”

Tegasnya setiap orang yang berucap itu, hendaklah disertai dengan kewara’an yang dapat memeliharanya dari segala kesalahan-kesalahan serupa itu, dan hendaklah sentiasa berhati-hati agar ia terselamat dari bahaya-bahaya yang tersebut tadi.


No comments: