Tuesday, February 19, 2008

HALATUJU NEGARA ISLAM


Ciri-Ciri Negara Islam

Terdapat tiga ciri-ciri penting di dalam menegakkan Negara Islam.

1. Syariat Islam yang mesti dipatuhi kepadanya.
2. Umat yang mendokonginya
3. Pemerintahan Islam yang menaunginya.

Syariat Islam Yang Mesti Dipatuhi Kepadanya

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili di antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana membela (orang-orang yang khianat)."


Firman Allah SWT lagi yang bermaksud:
"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat dari urusan agama itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui."

Syariat Allah wajib menjadi aqidah negara dan pegangan kerajaan. Perlembagaan dan segala urusan pemerintahan hendaklah dirujuk kepadanya, kerana menurut Islam;

• Semua manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan peringkat adalah hamba kepada Allah. Tidak harus bagi manusia berlagak menjadi Tuhan sama ada orang perseorangan atau kumpulan. Sebarang tindakan atau amalan mempersucikan manusia. Memberi kuasa mutlak kepada orang perseorangan atau kumpulan yang mengadakan hukum syariat menurut kemahuan adalah syirik dan mengaku mempunyai hak ketuhanan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka daripada perkara ad-Deen yang tidak diizinkan oleh Allah."

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka demi Tuhanmu, mereka tidak beriman sehinggalah mereka menjadikan kamu (Muhammad SAW) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya."

• Semua manusia adalah sama dari segi asal usul mereka dan diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Esa. Walaupun berbagai-bagai bangsa dan menggunakan berbagai-bagai bahasa. Mereka tetap mempunyai titik persamaan sebagai manusia yang bersifat manusia dan semua mereka adalah hamba Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami mencipta kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kullit. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui."

• Setiap orang mempunyai tanggungjawab sebagai makhluk sama ada ia pemerintah atau rakyat biasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud"
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang rakyatnya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin. ia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang lelaki pemimpin pada ahlinya dan ia akan ditanya tentang rakyatnya, seorang perempuan itu pemimpin di dalam urusan rumah tangga suaminya dan ia ditanya tentang rakyatnya, dan khadam itu menjadi pemimpin urusan harta tuannya dan ia akan ditanya tentang rakyatnya dan seorang anak menjadi pemimpin menggunakan harta ayahnya dan ia ditanya tentang rakyatnya, maka semua kamu adalah pemimpin dan ditanya tentang rakyatnya."
Tanggungjawab itu ada dua bahagia.

1. Di dunia yang mesti diatur menurut syariat Allah.
2. Di akhirat di mana ia bertanggungjawab di hadapan Allah SWT.
• Sumber hukum syariat kepada manusia sama sahaja dengan sumber peraturan tabi'e kepada makhluk lain. Mereka mestilah patuh kepada apa yang ditentukan oleh Allah dan manusia pula menerima taklimat Hukum Allah dari para Rasul yang dipilih oleh Allah. Syariat tersebut benar-benar menepati fitrah (naluri) manusia dan ditetapkan secara qat'i (putus) dalam perkara-perkara yang tidak dapat di capai oleh akal manusia dan diberi dasar umum dalam perkara yang dapat dikaji dengan akal yang betul dan dinyatakan batas-batas agar manusia tidak terlanjur dengan akalnya semata-mata. Dalam konteks Negara Islam, terdapat begitu banyak sumber-sumber yang boleh dipakai sepanjang zaman. Di antara sumber-sumbernya ialah:

1. Al-Quranul Karim, yang diwahyukan dari Allah SWT. Di dalamnya terkandung semua perkara-perkara dalam kehidupan manusia, bermula dari perkara hubungan mereka dengan Allah SWT sehingga kepada hubungan mereka dengan bahan-bahan yang ada di atas muka bumi yang ditugaskan mereka memakmurkannya. Di dalamnya terdapat ayat-ayat yang menjadi perlembagaan Negara Islam , yang menjadi dasar dan hukum pembentukan masyarakat dan segala kegiatan yang mempunyai matlamat yang sebenar.

2. Sunnah Rasulullah SAW. Bagaimana Rasulullah SAW mempraktikkan Hukum Allah SWT yang ada di dalam al-Quranul Karim. Bagaimana Rasulullah SAW melaksanakan Islam di dalam masyarakat dan negara yang paling majmuk. Darinya kita dapat memahami bagaimana dan ke arah mana al-Quran itu diamalkan.

3. Perjalanan Al-Kulafah ar-Rasyidin. Mereka yang menjadi Ketua Negara selepas wafatnya Rasulullah SAW. Melalui perjalanannya kita dapat memahami bagaimana penyelesaian yang kadang-kadang ada perkara yang tidak timbul di zaman Rasulullah SAW, tetapi dapat di hadapi dengan selamat berdasarkan al-Quran dan Hadith Nabi SAW.

4. Pendapat Ulama' Muhtahiddin. Iaitu mereka yang memahami isi kandungan al-Quran dan Hadith dan juga masalah semasa dengan pandangan-pandangan tajam sehingga dapat diputuskan hukum dan menyelesaikan semua masalah. Di dalam kitab-kitab karangan mereka amat kaya dengan bahan-bahan untuk Negara Islam.

• Tegaknya Negara Islam itu hendaklah di atas dasar membebaskan manusia dari pengabdian sesama makhluk kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Apabila dasar pengabdian diri hanya kepada Allah SWT dijunjung di dalam sesebuah negara, maka berlakulah keadilan sejagat dan mutlak. Tiadalah manusia dianggap istimewa di dalam melaksanakan undang-undang kepadanya. Inilah yang diucapkan oleh Raba'i bin Amir kepada Rustam, panglima tentera Farsi yang bermaksud:

"Allah membangkitkan kami untuk menyelamatkan sesiapa yang mahu lari dari mengabdikan diri kepada sesama hamba (manusia) kepada mengabdikan diri kepada Allah dari kezaliman berbagai-bagai ajaran kepada keadilan Islam dan dari kesempitan dunia kepada yang luas terbentang."

Syariat Islam itu mampu memenuhi keperluan manusia sejagat dalam semua keadaan dan masa kerana ia mempunyai beberapa sifat keistimewaan yang tidak ada pada ajaran yang lain. Di antaranya ialah:

1. Beriman kepada Allah yang membawa kepada ketundukan dan kepatuhan yang ikhlas bagi menegakkan hukum agama-Nya. Menjadikan seseorang itu tidak ragu-ragu tentang kejayaan Hukum Islam yang diberikan jaminan oleh Allah SWT lalu ia tidak membuat pilihan lain lagi. Tidak lagi dipengaruhi oleh kepentingan diri atau puak.

Perlaksanaan dari hati ikhlas dan bukannya berpura-pura untuk menarik sokongan manusia semata-mata. Ia tetap menegakkan keadilan dan kebenaran walaupun ia jatuh dan tumbang kerananya. Tanggungjawab seseorang yang beriman itu bukan sahaja di dunia tetapi ia menyedari matlamatnya iaitu mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Maka tiadalah sikap mengabdikan diri sesama manusia atau mempermainkan mereka dengan kuasa pemerintahan yang ada.

2. Kemanusiaan sejagat. Di mana hukum Islam itu menjadi rahmat kepada manusia seluruhnya. Bukan hanya untuk sesuatu bangsa atau sesuatu kawasan atau menurut sempadan negeri sahaja. Fahaman Asobiyyah yang termasuk di dalam fahaman nasionalisme adalah bertentangan dengan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Bukan dari kalangan kami, orang yang menyeru ke jalan asobiyyah. Dan bukan dari kalangan kami orang yang berjuang di atas jalan asobiyyah dan bukan dari kalangan kami orang yang mati di atas dasar asobiyyah."
Apabila ditanya, apakah makna asobiyyah, Rasulullah SAW menjawab yang bermaksud:
"Kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman."

Maka tiada orang yang istimewa di bawah undang-undang atau membahagikan hak kerana apabila meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya adalah zalim.

3. Keadilan mutlak, yang mesti ditegakkan di kalangan manusia ke arah mewujudkan persaudaraan di kalangan mereka. Memelihara kebebasan beragama walaupun kita tetap menyatakan bahawa Islamlah satu-satunya agama yang benar. Memelihara nyawa, akal, akhlak, keturunan dan hartabenda kerana semua manusia adalah hamba Allah SWT dan bukannya hamba kepada negara dan kerajaan. Kerajaan Islam adalah pelaksana hukum Allah SWT dan bukannya pembuat atau pengubal hukum menurut kemahuan mereka dalam perkara yang tidak diizinkan oleh agama. Sejarah Islam kaya dengan contoh-contoh keadilan dan menolak kezaliman. Keadilan mestilah ditegakkan walaupun terhadap musuh negara. Apa lagi terhadap rakyat termasuk rakyat bukan Islam yang memberi taat setia kepada Negara Islam. Keadilan itu berlaku dalam semua perkara. Bukan sahaja di mahkamah tetapi juga di dalam pentadbiran dan pembahagian hak.

4. Pertimbangan di antara kepentingan individu dan kepentingan masyarakat. Ini berbeza dengan negara-negara kapitalis yang terlalu memberi hak kepada individu sehingga menjejaskan kepentingan masyarakat. Tidak juga seperti negara komunis dan sosialis yang melampau dalam membela kepentingan masyarakat, kononnya tetapi sebaliknya merampas beberapa hak individu. Di antara contoh yang nyata di dalam perkara ini ialah dalam aspek memberi hak milik kepada rakyat. Di dalam al-Quran dan al-Hadith Nabi SAW, menyatakan bahawa di antara sifat manusia ialah memiliki sesuatu dan hidup bermasyarakat. Oleh itu beberapa perkara yang menjadi sumbangan kepada masyarakat di wajibkan di dalam Islam, seperti zakat dan lain-lain tanpa menghapuskan naluri kepentingan individu yang ada pada manusia.

5. Thabat dan Marunah (Teguh dan Anjal) Iaitu teguh dalam perkara-perkara dasar dan beberapa perkara cabang serta perkara yang menjadi matlamat manusia yang tidak mampu mereka tentukan dengan akal mereka semata-mata. Islam tidak pernah mengikat penggunaan ilmu pengetahuan yang betul di dalam menghadapi perubahan masyarakat menurut masa dan tempat lalu diizinkan berijtihad kepada orang yang mempunyai keahlian dan memberi hak yang dinamakan siasah syariah kepada pemerintah mengendalikan masyarakat dan negara yang mengalami cabaran dan situasi yang berbeza-beza tanpa menyanggah Hukum Islam yang tetap untuk memberi kebaikan kepada manusia.



Mendaulatkan Syariat Islamiyyah

Negara Islam ialah negara yang mendaulatkan Hukum Allah SWT, di mana ia mestilah dibuktikan dengan perkara-perkara berikut:

1. Syariat Islamiyyah hendaklah menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan Perlembagaan, Perundangan dan segala nizamnya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah dipesankan dengannya akan Nabi Nuh, yang diwahyukan kepadamu dan dipesankan dengannya akan Ibrahim, Musa dan Isa agar kamu menegakkan agama dan janganlah kamu berpecah-belah tentangnya."
Jika negara itu dari awal-awal lagi tidak meletakkan Islam ke taraf tersebut seperti hanya diberikan tempat dan ruang di dalam Perlembagaan, di samping mengizinkan hukum-hukum lain mengatasi Hukum Islam maka ia dianggap syirik dan tiada nilai keIslaman yang sebenar di dalam kegiatan Islam atau yang bernama Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada Nabi-Nabi sebelummu, jika kamu syirik nescaya akan hapuslah amalan dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang-orang yang rugi."

Apa yang tersebut bukanlah suatu kongkongan daripada keteguhan. Jalan yang ada di dalam Islam sudah cukup untuk memberi peluang yang seluas-luasnya kepada negara yang mengendalikan urusannya dan sebarang penerimaan yang lain adalah anggapan seolah-olah Islam ini tidak mempunyai kesempurnaan, Na'uzu billai min zalik.

2. Syariat Islamiyyah itu hendaklah diletakkan paling tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."
Iaitu janganlah ada hukum atau undang-undang lain yang mengatasi hukum atau undang-undang atau mengatasi syariat Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. Adalah bertentangan dengan Islam bahkan menipu rakyat apabila sesebuah negara menjadikan Islam sekadar agama Negara atau Islam dijadikan salah satu sumber rujukan sahaja dan sebaliknya mengamalkan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

3. Perlaksanaan yang syumul (menyeluruh). Sebagaimana yang di fahami, Islam adalah agama yang syumul dan sempurna. Ajarannya mencakupi segala aspek kehidupan seperti aqidah, syariah, akhlak dan nizam, kerohanian dan kebendaan, kepentingan individu dan masyarakat. Tiap-tiap aspek ini berhubungkait di antara satu sama lain. Tanpa perlaksanaan yang menyeluruh nescaya akan gagal untuk mengatasi segala masalah. Oleh itu wajiblah bagi Negara Islam itu melaksanakan sifatnya yang syumul.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada perkara-perkara yang dilakukan secara tadaruj (berperingkat) tetapi penerimaannya sebagai dasar negara secara menyeluruh adalah wajib. Islam tidak mengiktiraf penerimaan secara serpihan sahaja. Sesungguhnya melaksanakan Islam secara serpihan sahaja adalah suatu penyelewengan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu."

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang dengan pertolongannya menghalang perlaksanaan hukum Hudud (kanun Kesiksaan) maka sesungguhnya ia menentang Allah pada hukum-Nya."

Jika membatalkan satu Hukum Allah di anggap menentang-Nya dan derhaka maka bagaimana dengan mereka yang membatalkan lebih dari satu?

Sebarang perlaksanaan Islam oleh Negara Islam hendaklah menyatakan dasarnya yang jelas, niat yang ikhlas dan perancangan yang betul dan tepat dengan syariatnya.

Umat Yang Mendokongnya

Negara Islam tidaklah muncul secara spontan. Kewujudannya adalah melalui proses naluri manusia. Ia wujud dengan adanya umat yang mendokong cita-cita Islam.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Dan di antara orang yang Kami ciptakan, ada umat yang memberi petunjuk dengan hak dan dengan hak itu pula mereka menjalankan keadilan."

Negara Islam tidak ditegakkan secara percuma adalah merupakan suatu hikmat yang besar. Ia di mulakan dengan pembentukan golongan yang beriman kepada Islam. Melalui ilmu dan perjuangan maka akan terhasil keimanan yang sebenar yang memberi mereka kefahaman erti keadilan Islam. Mereka seringkali di uji dan dikenakan tindakan kezaliman yang dilakukan ke atas mereka. Proses ini menyebabkan mereka mereka menjadi bertambah teguh pendirian dan semakin berani untuk menegakkan hukum Allah SWT dengan penuh pengabdian tanpa merasa takut dan gentar terhadap makhluk. Proses ini juga akan menyebabkan mereka menjauhkan diri daripada bersikap zalim setelah mereka diberikan kuasa memerintah di atas muka bumi ini. Perkara ini tidaklah berlaku selagi tidak wujud apa yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar (kejahatan) dan beriman kepada Allah."
Apabila telah wujud umat yang mendokong Islam, akan terlaksanalah apa yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Umat atau golongan yang menjadi pendokong Negara Islam mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
1. Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Ini bermula dari peringkat pendokong gerakan Islam itu sendiri. Amatlah tidak wajar jika mereka menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan dan mengaku menegakkan kebenaran sedangkan pendokong itu sendiri tidak mengamalkannya. Melarang orang lain daripada melakukan kemungkaran, sedangkan dia sendiri adalah ahli mungkar.

2. Beriman kepada Allah. Yang dimaksudkan beriman kepada Allah ini ialah iman yang dibina di atas Tauhid dalam segala aspek seperti Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma' dan Sifat. Termasuk di dalam Tauhid ini juga ialah perkara-perkara yang berhubung dengan masalah kenegaraan.

3. Umat yang menerima konsep Wahdah (kesatuan) manusia. Menyedari bahawa mereka adalah ciptaan Allah SWT sahaja dan tiada yang lain, maka mereka hendaklah menegakkan Hukum Allah SWT ke atas manusia seluruhnya tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama. Fahaman asobiyyah dianggap sebagai fahaman jahiliyyah dan tidak diiktiraf oleh Islam. Oleh itu, kerakyatan dalam negara Islam, pemberian hak, perlindungan kepada beragama, kebudayaan dan merasai keadilan adalah untuk seluruh umat di dalam negara Islam. Sama ada umat tersebut adalah umat ijabah (mereka yang menganut Islam) atau umat dakwah (semua manusia termasuk orang yang bukan Islam).

Tidak seperti apa yang berlaku di dalam negara yang tidak mengamalkan Islam. Sebagai contoh kita melihat di dalam sesebuah negara yang mengamalkan diktator, berlaku tindakan membunuh pembangkang. dan diskriminasi di dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Oleh yang demikian, pembelaan hak di dalam pemerintahan Islam adalah wajib.
span class="fullpost">

Pemerintahan Islam Yang Menaunginya

Menegakkan pemerintahan Islam adalah wajib menurut nas al-Quran, hadith Nabi SAW dan Ijma' Ulama'. Ia merupakan sebahagian daripada perkara-oerkara penting di dalam Hukum Islam. Di dalamnya tertakluk perlaksanaan Islam yang menyeluruh sehingga ulama'-ulama' besar yang muktabar memberi perhatian kursus di dalam kitab-kitab mereka. Di antaranya ialah al-Mawardi, Imam al-Haramain, al-Juwini, al-Ghazali, at-Taftazani, Ibnu Khaldun dan lain-lain.

Tidak seharusnya orang-orang yang mengaku Islam memandang ringan tentang perkara ini, bukan sahaja di kalangan ahli sunnah tetapi juga di kalangan syiah. Pemerintahan Islam hendaklah ditegakkan di atas asas yang telah ditetapkan oleh Islam iaitu:

1. Tanggungjawab Pemerintah. Maksubnya tanggungjawab di hadapan Allah SWT dan di hadapan manusia. Pemerintah tidak mempunyai kuasa mutlak sama ada pemerintahan itu orang perseorangan atau kumpulan. Mereka hendaklah menjalankan pemerintahan sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW, yang membawa unsur-unsur beriman, beribadat dan berakhlak di dalam politiknya. Mereka juga haruslah menolak pengaruh kebendaan dan kepentingan duniawi. Allah SWT menentukan kekuasaan pemerintah sebagai pelaksana dan wakil yang diberi tanggungjawab oleh Allah SWT. Mereka juga telah diberi kepercayaan oleh rakyat, maka tiada di dalam Islam teori raja tidak melakukan kesalahan. Pemerintah juga diamanahkan oleh rakyat untuk menyelesaikan masalah dalam urusan mereka.

Firman Allah SWt yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada orang yang berhak kepadanya dan menyuruh kamu apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu, sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Melihat."

"Wahai orang-orang yang beriman! taatlah Allah dan taatlah Rasul-Nya dan Ulil Amri di kalangan kamu, kemudian jika kamu bertelingkah tentang sesuatu perkara maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Hadith) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan demikian lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya."

Di mana pemerintah hendaklah bertanggungjawab menegakkan Hukum Allah dengan seadil-adilnya dan menyelesaikanm, masalahumat dengan Hukum Allah. Bukan dengan hukum ciptaan manusia. Pemerintah wajiblah menunaikan amanat Allah dan rakyat. Menyampaikan amanat kepada yang berhak sebagaimana ia menyuruh kakitangan dan pegawai-pegawainya bersifat amanat.

2. Penyatuan Umat. Persaudaraan yang mengikat hati manusia dengan ajaran Islam adalah sebahagian daripada iman. Tidaklah sempurna iman seseorang Islam itu melainkan mengujudkan persaudaraan menurut persaudaraan Islam. Oleh itu maka berlakulah secara praktikal apa yang disebut sebagai kebebasan bersuara atau mengemukakan pandangan. Pandangan dan nasihat harus diberi tanpa mengira kedudukan atau pangkat. Pemerintah Islam harus menerima pandangan yang diberi, walaupun pandangan tersebut datang dari orang bawahannya. Ini berdasarkan kepada apa yang disabdakan oleh Nabi SAW yang bermaksud:

"Agama itu adalah nasihat."
Para sahabat bertanya:
"Bagi siapa? Ya Rasulullah."
Rasulullah SAW menjawab:
"Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi Rasul-Nya, bagi Imam-Imam (pemimpin-pemimpin) kaum muslimin dan bagi rakyat mereka."
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila engkau melihat umatku takut untuk berkata kepada si zalim, wahai si zalim, maka sesungguhnya diterima ucapan selamat tinggal daripadanya."
Menurut satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Perut bumi lebih baik kepada mereka daripada belakangnya."
Penyatuan umat ini adalah merupakan perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAw di Madinah. Rasulullah SAW telah menyatukan kaum Aus dan Khazraj dan di antara Muhajirin dan Ansar. Mereka telah bersatu menjadi satu umat yang teguh. Di samping itu Rasulullah SAW juga telah mementerai perjanjian kerakyatan dengan orang-orang bukan Islam. Di antara isi kandungan perjanjian tersebut ialah:

Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapat pertolongan dan pimpinan dengan tidak dizalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.

Maka terjalinlah persaudaraan Islam dan hubungan kemanusiaan

3. Menghormati pandangan rakyat, Rakyat di dalam Negara Islam mempunyai hak penilaian terhadap pemerintah. Mereka berhak memberi pandangan yang baik sama ada secara individu atau melalui wakil mereka di dalam Majlis Syura' yang disebut juga dengan Ahlul Khali Wal Akdi. Majlis ini terdiri terdiri dari kalangan ulama' dan mereka yang mengetahui masalah semasa. Menjadi kewajipan kepada pemerintah pula melaksanakan Syura' (permesyuaratan) kerana firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku berlemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar nescaya mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membuat tekad, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya."

Perkara ini dipraktikkan di zaman Nabi SAW dan di zaman Khulafah ar-Rasyidin. Kita dapat melihat kejayaan yang dicapai oleh umat Islam yang pertama setelah dilahirkan di Semenanjung Tanah Arab yang jauh dari tamaddun. Mereka telah berjaya meledakkan suatu kebangkitan umat yang mempunyai kematangan di kalangan pemimpin dan rakyat.
Kita boleh melihat contoh bagaimana seorang pemimpin mendengar pandangan daripada rakyatnya melalui ucapan Saidina Abu Bakar As-Siddiq setelah dilantik menjadi Khalifah yang pertama.

"Wahai manusia! sesungguhnya aku telah dipilih menjadi ketua kamu dan bukanlah aku orang yang paling baik di kalangan kamu, jika aku baik maka tolonglah aku, jika aku tersilap maka perbetulkanlah aku."

Begitu juga dengan ucapan Saidina Omar bin al-Khattab, Khalifah yang kedua.
"Siapa yang melihat berlakunya kepadaku penyelewengan maka perbetulkanlah aku."
Ketua Negara mestilah sentiasa membuka dada untuk dibangkang dan ditegur kalau ia tersilap dan rakyat pula mestilah berani menegur.

Perhatikanlah ucapan Omar bin Abdul Aziz, seorang Khalifah yang memerintah selepas zaman Nabi dan zaman para sahabat sebagai bukti kewujudan pemerintahan Islam yang berjaya selepas generasi pertama. Di antaranya beliau berkata yang bermaksud:
"Adapun selepas itu, maka sesungguhnya tiada lagi Nabi selepas Nabi kamu Muhammad SAW dan tiada lagi kitab selepas Kitab (al-Quran) yang diturunkan kepadanya."

" Ingatlah, sesungguhnya apa yang dihalalkan oleh Allah Azzawajalla tetap halal hingga ke hari kiamat dan apa yang diharamkan oleh Allah tetap haram hingga ke hari kiamat."

" Ingatlah sesungguhnya tidak harus bagi seseorang itu taat dalam perkara derhakakan Allah Azzawajalla."

"Ingatlah, sesungguhnya aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu, tetapi Allah telah menjadikan aku orang yang paling berat memikul tugas."

Menurut Islam, anggota di dalam kerajaan, pegawainya, bahkan rakyatnya diizinkan, bahkan wajib untuk menasihat dan membangkang dalam perkara penyelewengan. Adalah berdosa jika sekiranya seseorang itu melihat kemungkaran tetapi tidak ditegahnya. Dan menjadi kewajipan juga kepada pemerintah menerima nasihat dan teguran yang baik dan membina. Adalah haram jika mereka menolak kebenaran dan lebih berdosa lagi jika mereka bertindak ke atas orang yang menegurnya.

Sifat-Sifat Pemerintahan Islam

Pemerintah menurut Islam bukanlah hanya sekadar memegang teraju pemerintahan dan melaksanakan menurut kemahuan sendiri, melakukan sesuatu dan memerintah dengan sewenang-wenang sahaja tetapi memikul kewajipan yang besar dan tanggungjawab yang berat. Untuk mengetahui sifat dan tanda-tanda sesuatu pemerintahan Islam ialah berpandukan kepada apa yang difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud:

"Orang-orang yang apabila telah Kami berikan kedudukan yang kukuh di atas muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah yang mungkar dan kepada Allah jua akibat segala urusan."

Ayat ini menyatakan perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh pemerintahan Islam.
1. Mendirikan sembahyang. Iaitu melakukan hubungan yang kuat di antara masyarakat Islam dengan Allah SWT.

2. Memberi zakat dengannya diberi perhatian kepada masalah ekonomi dan pembahagiannya yang adil.

3. Menyeru kepada yang makruf menyebarkan kebaikan dan melakukan islah dalam masyarakat.

4. Mencegah kemungkaran memerangi segala bentuk kejahatan, penyelewengan, kezaliman dan maksiat.

Pemerintah yang begitu rupa memerlukan orang yang benar-benar layak, adil dan soleh, mempunyai persediaan ilmu, amal dan peribadi yang mulia.

Kalau begitulah sifatnya pemerintahan Islam dan pendokongnya, maka tiada alasan yang munasabah kepada mereka yang takut kepada wujudnya Negara Islam tulin melainkan orang-orang yang zalim dan fasik.

Matlamat Negara Islam

Menurut Islam, menjadi pemerintah ialah untuk mencapai matlamat, bukannya menjadi matlamat. Mewujudkan Negara Islam itu ialah memungkinkan kita melaksanakan perintah Allah dan ini tidak boleh dilakukan secara individu. Menegakkan negara Islam ini terkandung di dalam matlamat melaksanakan perintah Allah SWT yang di gariskan kepada tiga perkara,

1. Matlamat Khulafah. Iaitu tugas yang maha besar yang diisytiharkan oleh Allah kepada para malaikat. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat. Sesungguhnya Aku akan jadikan di muka bumi itu khalifah."

Para ulama mentakrifkan Khulafah itu sebagai “Mengalang-ganti keNabian di dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya (iaitu dengan agama).

Dari takrif tersebut, kita dapati dua unsur terpenting di dalam tujuan kejadian manusia.

• Menjaga agama
• Mentadbir dunia

Menjaga agama dilakukan dengan melaksanakan dua perkara pokok.

a) Menegakkan Islam dengan menyatakan kepada manusia seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA dengan menyatakan apakah Islam yang sebenar kepada seluruh manusia dan membuktikan kebaikan ajaran dan hukum-hukumnya di samping mempertahankan dari musuh.

b) Melaksanakan Islam dengan mengamalkan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya dalam semua urusan. Termasuk juga di dalamnya urusan bermasyarakat dan bernegara. Menyeru dan mengajak manusia kepada melaksanakan perintah agama dan bertindak ke atas sesiapa yang tidak melakukannya, di samping mencegah kemungkaran dan kejahatan dengan kuasa pemerintah.

Mentadbir dunia dengan agama ialah menghayati bahawa urusan dunia itu termasuk juga di dalam urusan agama. Ia mestilah patuh kepada perintah agama. Apa yang dimaksudkan ialah segala urusan negara yang membawa kepada kebaikan dan menolak keburukan tidak akan sempurna dan tidak dapat disempurnakan melainkan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT terutamanya perkara-perkara yang berhubung dengannya.

1. Menegakkan keadilan di kalangan manusia

Ciri-ciri utama mentadbir dunia dengan agama ialah beriltizam sepenuhnya dengan keadilan kerana ia menjadi tunggak yang menguatkan negara. Sebenarnya kezaliman itu tidaklah menandakan kekuatan negara tetapi menandakan keruntuhannya.

Di dalam Islam makna adil ialah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya menurut hukum Islam. Dengan keadilan itu terjamin pemberian hak kepada yang berhak dan tidak berlaku zalim kepada yang berhak. Pemerintah hendaklah bertindak menentang kezaliman daripada diri sendiri. Al-Alamah Ibnu Khaldun menjelaskan makna zalim di dalam kitabnya Al-Muqqadimah:

Janganlah kamu menyangka zalim itu mengambil harta atau merampas milik tanpa alasan dan gantian yang wajar seperti diketahui umum, tetapi zalim itu bermakna lebih luas dari itu. Zalim itu ialah setiap orang yang mengambil milik orang lain atau merampas di dalam kerjanya, atau membuat permintaan yang tidak sebenar, atau mewajibkan kepada seseorang dalam perkara yang tidak diwajibkan oleh hukum syarak. Oleh itu mengambil cukai dengan cara yang tidak benar adalah zalim, bertindak mencari kesempatan daripadanya adalah zalim, menghalang hak orang lain adalah zalim. Kesemua akibat penyakit zalim yang berlaku menjadi bebanan negara ke arah membawa keruntuhan.

Bagi menegakkan keadilan, pemerintah wajib memberi tugas urusan negara kepada orang yang berkelayakan dan mempunyai sifat yang baik. Bukannya berdasarkan kepada orang yang berada di sekeliling pinggang tanpa membezakan di antara pengampu dan penasihat.

Pemerintah juga hendaklah mengawasi jentera kerajaan dan petugas-petugasnya agar mengikuti jalan yang sebenar dan tidak cuai dalam mengendalikan urusan negara untuk umatnya. Di dalam kitab Fiqah Siasi di sebut al-Hasabah atau Nizamul Hasabah perlu di wujudkan. A Hasabah ialah satu badan yang diberi kuasa penuh bagi menjalankan tugas munasabah terhadap perjalanan pentadbiran dan hal ehwal rakyat di samping menerima pengaduan rakyat.

2. Membentuk pandangan yang mulia dan kebebasan pendapat yang bermaruah.

Dengan menggalakkan amar makruf dan nahi mungkar dan nasihat menasihati maka terbentuklah satu umat yang dinyatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dijadikan untuk manusia, kamu menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”

Dan Allah SWT melaknat umat yang tidak wujud sifat-sifat tersebut. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dilaknati akan orang-orang Kafir di kalangan Bani Israel dengan lisan Daud dan Isa bin Maryam, yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampaui batas, mereka selalu tidak melarang antara satu sama lain dalam perkara mungkar yang mereka perbuat, sesungguhnya amat buruk apa yang selalu mereka perbuat itu.”

Di antara sifat yang berlaku sekarang ialah tidak memberi kebebasan kepada akhbar untuk mengkritik walaupun yang membina menurut Islam, di samping itu memebebaskan ruang yang menggalakkan kemungkaran, dan di antaranya ialah menutup penyelewengan dan kezaliman yang berlaku.

span class="fullpost">

3. Menghormati taraf kemanusiaan.

Di antara peranan yang dilakukan oleh Negara Islam itu ialah menghormati dan mempertahan taraf kemanusiaan sebagai makhluk yang mulia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami menanggung mereka di daratan dan dilautan. Kami berikan mereka rezeki yang baik-baik dan Kami lebihan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

4. Menegakkan keamanan dan kestabilan

Negara Islam berkewajipan menjamin keamanan dan kestabilan negara demi memelihar kepentingan agama, nyawa, akal, kehormatan dan perkembangan harta benda. Ini semua dapat dijalankan dengan cara yang sempurna apabila undang-undang negara dan sistem dalam segala aspek dilaksanakan secara menyeluruh menurut undang-undang dan sistem Islam.




5. Menyediakan keperluan rakyat

Di antara perkara yang termasuk di dalam urusan pentadbiran dunia dengan agama ialah menyediakan kemudahan-kemudahan rakyat di dalam semua kehidupan mereka. Dari segi ilmu, pemerintah mestilah menyediakan pusat-pusat pengajian di semua peringkat dan jurusan. Dari segi ekonomi, pemerintah hendaklah memberi kemudahan pekerjaan seperti di dalam sektor industri, pertanian, perdagangan dan lain-lain. Ini termasuk dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan umum ataupun memberi kemudahan dan perlindungan dalam perkara yang dilibatkan oleh rakyat secara langsung.

6. Menggalakkan perkembangan kemajuan negeri dan rakyat

Di dalam urusan dunia yang ditadbir dengan agama, pemerintah juga haruslah menggalakkan perkembangan kemajuan negara dan rakyat seperti menggalakkan pelaburan yang berfaedah sama ada dari dalam atau dari luar negeri. Di samping itu kerajaan juga haruslah menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi membantu kemajuan negeri dan rakyat.

Al-Imam Abu Yusof telah menyebut di dalam kitab al-Kharaj:

Untuk menggalakkan pertambahan hasil negara dan kesenangan rakyat agar bertambah hasil pertanian yang dengannya maka akan bertambahlah zakat yang diambil dari orang Islam dan kharaj dari orang bukan Islam, pemerintah hendaklah menyediakan kemudahan taliair untuk para pertani dengan perbelanjaan pemerintah.

Apa yang disebutkan di atas itu ialah suatu contoh di zaman beliau.

2. Di antara matlamat Negara Islam itu ialah menunaikan amanah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit bumi, bukit bukau dan gunung ganang, semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir mengkhianatinya, lalu dipikul amanah itu oleh manusia, sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil”.

Menurut pendapat Mufassirun, amanat itu memberi makna yang luas di antaranya ialah menegakkan undang-undang Allah dan mentadbir urusan manusia. Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya, zalim dan jahil itu dikecualikan orang yang diberi taufiq dan memohon pertolongan Allah. Para Nabi dan Rasul dan orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya tidak termasuk di dalam kalangan yang zalim. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul SAW dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahuinya.”

Ayat ini bermaksud semua amanah, termasuk menegakkan hukum Allah SWT di dalam Negara Islam. Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang memberi makna tersebut. Al-Imam Muslim meriwayatkan di dalam syahihnya yang bermaksud:

“Dari Abi Zarr RA, katanya: ‘saya telah berkata kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, mengapa tidak melantik saya (memegang jawatan pemimpin), lalu ia menepuk bahu saya dengan tangannya kemudian ia bersabda, wahai Abu Zarr, awak seorang yang lemah, ia adalah amanah dan di akhirat nanti ia membawa kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambilnya dengan sebenar dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan kepadanya.”

Di dalam syahih Bukhari di sebut satu hadith berhubung dengan amanah yang bermaksud:

“Dari Abi Hurairah RA, katanya, sedang Rasulullah SAW berada dalam satu majlis, ia berucap kepada orang-orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Badwi), ia terus bertanyakan Rasulullah SAW:

“Bilakah kiamat?”

Rasulullah SAW meneruskan ucapannya. Ada orang yang berpendapat, ia mendengar pertanyaan itu dan ia tidak suka dengan cara pertanyaan seperti itu. Ada yang berpendapat ia tidak mendengarinya. Apabila Rasulullah SAW selesai berucap, tiba-tiba ia bersabda.

“Tadi saya mendengar ada orang yang bertanyakan tentang kiamat.”

Lalu orang Badwi tersebut menjawab.

“Ya, saya ya Rasulullah.”

Rasulullah SAW pun bersabda.

“Apabila dipersia-siakan amanah maka tunggulah kiamat.”

Orang Badwi itu bertanya lagi.

“Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu, ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab.

“Apabila disandarkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya.”

Para ulama’ yang mengulaskan hadith ini mewajibkan pemerintah menyempurnakan matlamat amanah dengan melantik orang yang berkelayakan dan mempunyai sifat keIslaman.

Melaksanakan kerja pemerintahan secara Islam adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada negara, sama ada ia dipilih dengan keredhaan rakyat ataupun tidak. Kewajipan menunaikan amanah tetap dibebankan ke atas bahunya. Oleh itu maka wajiblah ia menunaikan amanah Allah SWT dan meletakkan amanah itu kepada rakyat menurut tempatnya yang betul menurut hukum Islam. Dengan itu ternyatalah sama ada ia berlaku adil atau tidak.

Kita perlu memahami bahawa bukanlah menegakkan Negara Islam itu menjadi kemuncak matlamat walaupun ia menjadi satu kewajipan yang tidak harus dipertikaikan lagi. Yang menjadi kemuncaknya ialah menegakkan masyarakat yang sempurna, yang terselamat dari penyakit kezaliman dan melampaui batas Allah SWT. Oleh itu menjadi kenyataan sejarah Islam, apabila ada golongan yang menerima dasar tersebut, maka wajiblah umat Islam memberikan kesetiaan kepadanya dan tetap mengekalkan pimpinan yang ada tanpa mengira di mana dan bila. Maka kita hendaklah tetap menentang kezaliman walaupun berlaku di Makkah dan oleh seseorang yang sebangsa dengan Rasulullah SAW.

3. Ibadah Allah (Pengabdian kepada Allah)

Menurut ajaran Islam, semua manusia adalah hamba Allah SWT, sama ada rakyat biasa ataupun pemimpin. Mereka tertakluk di bawah tujuan asal mereka diciptakan seperti yang dinyatakan oleh firman Allah SWT:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku, Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah Maha Pemberi Rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh, maka sesungguhnya untuk orang-orang yang zalim dibahagikan siksa seperti bahagian teman-teman mereka dahulu, maka janganlah mereka meminta Aku menyegerakannya.”

Setiap orang Islam yang menjadi pemerintah mestilah beriman dengan segala ajaran Islam. Di antaranya ialah berhubung dengan pemerintahan. Mereka diwajibkan tunduk kepada apa yang ditetapkan oleh Allah SWT di atas sifat mereka sebagai hamba Allah. Sebarang langkah tidak percaya atau meminda hukum, mencipta hukum sendiri adalah pelampau batasan Allah SWT dan berlagak menyanggah Tuhan dan membatalkan Iman. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukminat, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka.”

Melaksanakan Hukum Allah SWT bukan hanya menghilangkan atau menyelesaikan masalah di dunia ini sahaja malahan mereka akan dibuat perhitungan di Akhirat. Oleh itu mereka bukan sahaja diwajibkan meletakkan urusan pemerintahan itu mengikut Hukum Allah di dunia sahaja tetapi mereka akan ditimbang pada hari kiamat.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan bagi Allah juga akibah segala urusan.”

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin, dia akan ditanya tentang urusan rakyatnya.”

Al-Imam Malik bin Annas RA telah mengutuskan surat nasihat kepada Khalifah Harun al-Rashid. Di antaranya beliau menulis.

Sesungguhnya tidak terselamat sedikitpun dari urusanmu kalau diserahkan kepada orang yang tidak takutkan Allah.

Al-Imam Abu Yusof RA menulis kepada Khalifah yang sama.

Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya Allah, bagi-Nya segala kepujian, telah mengangkat kamu melaksanakan urusan yang amat besar, pahalanya amat besar dan balasan siksanyapun amat besar……

Apa yang tersebut menunjukkan bahawa masalah Negara Islam termasuk di dalam perkara matlamat ibadah yang menjadi sebahagian daripada hikmah kejadian manusia. Oleh itu ia mempunyai hubungan dengan perkara dosa dan pahala, sah dan batal, benar atau sesat.

Semoga menjadi renungan bersama ke arah menegakkan keadilan Illahi dan bertindak menentang kezaliman, untuk kebahagian manusia seluruhnya di dunia dan di akhirat.

Wallahu a’lam.

Rujukan Kuliah dan Ucapan Tuan Guru, dengan Ikhsan.



1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum, terima kasih kerana memberikan satu artikel yang bagus berkenaan hal halatuju negara Islam ini. Cuma sya berharap tuan dapat sediakan bersama rujukan ayat Quran dan hadith yg lebih jelas sprt ayt mana, surah mana dan rawi serta sanad hadith2 skali. Sya bukan berniat tidak baik, cuma sya lebih suka mrujuk kembali kpd rujukan asal (Quran dn Hadis) utk tujuan belajar. Ini juga pasti memudahkan ramai org seperti sya. Terima kasih