LANGKAH-LANGKAH DALAM MENDIDIK JASMANI ANAK-ANAK
Antara langkah penting yang diwajibkan oleh Islam ke atas para ibu bapa dan para guru ialah pendidikan jasmani supaya anak-anak membesar dengan menikmati kekuatan fizikal kesejahteraan tubuh badan, sihat serta memiliki kecergasan yang sempurna agar mampu menjadi hamba Allah yang bersyukur.
1. Memberi nafkah
Allah berfirman: Maksudnya: Dan kewajipan memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang ma'ruf,(al- Baqarah: 233)
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh muslim, Rasu-lullah s.a.w. ada menegaskan:
“Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan terhadap keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu. “
Kalau bapa berhak menerima ganjaran pahala kerana bersusah payah memberi kesenangan kepada isteri dan berkorban mencari nafkah terhadap anak-anak, maka sebaliknya bapa akan menerima keburukan dan dosa sekiranya ia enggan memberi nafkah dan bakhil terhadap isteri dan anak-anaknya sedangkan ia mampu.
Awasilah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah terhadap orang yang mensia-siakan anak-anak dan enggan memberi nafkah terhadap isteri dan anak-anak. Ini disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Daud dan lain-lainnya .
“Sudah cukup bagi seseorang menanggung dosa kerana mensia-siakan orang yang sepatutnya diberi nafkah.”
Dalam suatu hadith yang lain Muslim meriwayatkan:
“Cukup bagi seseorang itu mendapat dosa kerana menahan dari memberi nafkah kepada tanggungannya.”
Termasuk juga dalam memberi nafkah terhadap anak-anak ialah; Bapa mesti menyediakan makanan yang baik-baik untuk isteri dan anak-anak, tempat tinggal yang sempurna dan pakaian yang sesuai supaya tubuh badan tidak terdedah kepada penyakit.
2. Penjagaan pemakanan.
Antara pertunjuk Rasulullah ialah menjaga badan dari bertambah gemuk kerana makan. Tegahan makan berlebihan daripada apa yang diperlukan.
Imam Ahmad dan Al-Tirmizi serta lain-lain telah meriwayatkan hadith daripada Rasulullah s.a.w. maksudnya.
. “Kalau ia makan maka hendaklah makan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga lagi untuk minum dan satu pertiga lagi untuk dirinya.(Udara)”
Antara pertunjuk Rasulullah dalam soal minuman ialah; minum dua atau tiga kali, Rasulullah juga menegah bernafas dalam bekas minuman dan minum sambil berdiri.
Al-Tirmizi telah meriwayatkan dari Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang ternakan minum, tetapi minumlah dua kali atau tiga kali membaca bismillah bila mulakan minum dan membaca alhamdulillah sesudah selesai.”
Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim dari Ahi Qatadah bahawa Nabi s.a.w. menegah bernafas dalam bekas minuman.
Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah s.a.w.:
“Jangan kamu minum berdiri siapa yang lupa hendaklah dimuntahkan semula.”
3. Penjagaan Tidur
Pertunjuk Rasulullah s.a.w. mengenai cara tidur ialah; tidur di atas lambung (rusuk) kanan, kerana tidur di. atas lambung kiri boleh menyakitkan atau memudaratkan jantung, dan kadang-kadang menghalang pernafasan.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Barrak bin Azib r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Ketika hendak tidur hendaklah mengambil wuduk seperti hendak menunaikan sembahyang. Kemudian tidurlah di atas lambung kanan dan ucaplah "Ya Allah, aku serahkan diriku pada-Mu, dan aku hadapkan diriku pada-Mu, segala urusan aku serahkan pada-Mu dan aku sandarkan belakangku demi untuk-Mu dengan rasa kasih dan takut pada-Mu. Tidak ada tempat bergantung dan tempat memohon perlindungan melainkan engkau ya Allah, aku beriman dengan kitab-Mu yang engkau turunkan dan beriman dengan nabi yang Engkau utuskan dan jadikan ini akhir yang diucapkan sebelum tidur.”
4. Penjagaan daripada penyakit.
Al-Bukhari telah meriwayatkan dalam Kitab Sahihnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: maksudnya
“Larilah (elaklah) kamu dari orang mengidap penyakit kusta seperti kamu lari dari singa,”
Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, sabda Rasulullah s.a.w.:
“Janganlah berulang-alik seseorang pesakit kepada orang yang sihat.”
Oleh itu para ibu-ibu hendaklah memisahkan anak-anak yang menghidapi penyakit berjangkit daripada anak-anak yang lain supaya penyakit tersebut tidak merebak dan wabaknya tidak meluas.
Alangkah agungnya pertunjuk Nabi dalam mendidik fizikal dan menjaga kesihatan tubuh badan.
Mengubati penyakit adalah paling berkesan dalam menghindarkan bencana, dan supaya penyakit itu dapat sembuh.
Imam Muslim dan Ahmad dan selainnya telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: maksudnya.
“Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya. Sekiranya ubat itu sesuai dengan penyakit maka akan sembuhlah penyakit itu dengan izin Allah.”
Dalam Musnad Imam Ahmad, dan dalam kitab al-Nasa'i dan selain kedua-duanya, dari Usamah bin Sharik telah berkata:
“Suatu ketika saya bersama-sama Ramlullah s.a.w. dan ketika itu telah datang sekumpulan orang pedalaman Arab menemui Rasulullah lantas berkata: Wahai Rasulullah? Adakah kita boleh mengubat sesuatu penyakit, lantas Rasulullah s.a.w. bersabda: Ya, boleh wahai hamba-hamba Allah, Berubatlah sesungguhnya Allah tidak mencipta sesuatu penyakit melainkan dicipta bersama ubat yang boleh menyembuhnya melainkan satu penyakit. Mereka bertanya: Apakah penyakit itu, sabda Rasulullah: "Penyakit tua".
Imam Ahmad dan al-Tirmizi dan selainnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
“Aku berkata, wahai Rasulullah, ubat-ubatan dan pengandang itu semuanya bolehkah menolak Qada dan Qadar Allah, Jawab Rasulullah: Semua kejadian itu adalah Qada dan Qadar Allah."
Oleh itu seharusnya mengambil contoh teladan dari pertunjuk Nabi dalam usaha mengambil berat terhadap anak-anak apabila ditimpa sesuatu penyakit dan berusaha pula mengubatinya. Ini kerana mengambil kira sebab-sebab dan apa-apa yang menyebabkannya adalah sejajar dengan kehendak fitrah manusia dan juga dari prinsip-prinsip Islam yang tulen.
Maka bembimbinglah mereka supaya sentiasa memakan barangan yang telah dibasuh dengan bersih, mengambil makanan tanpa berhenti-henti boleh menyebabkan kesakitan pada usus perut, begitu juga saluran pernafasan dan sistem penghadaman. Tugas pada pendidik juga untuk mendorong mereka supaya sentiasa makan pada waktu-waktu tertentu.
Makan makanan sebelum membasuh tangan boleh membawa kepada merebaknya penyakit. Doronglah mereka untuk mengikut pertunjuk Islam dengan membasuh tangan sebelum dan selepas makan.
Bernafas dalam bekas air minuman juga memudaratkan tubuh badan. cegahlah mereka daripada tabiat yang merbahaya itu.
Jelaskan nasihat doktor kepada anak-anak agar mengambil berat tentang panduan kesihatan. Jika ini berjaya dilakukan, maka anak-anak akan menikmati kesihatan yang sempurna, sihat dan cergas.
5. Membiasakan melakukan senaman.
Firman Allah S.W.T.:
“Bersedialah kamu untuk menghadapi mereka dengan segenap kekuatan yang kamu terdaya,” (al-Anfal: 60)
Juga melaksanakan suruhan Nabi dalam hadith riwayat Muslim:
“Seorang Mukmin yang kuat sihat Iebih baik dan lebih disukai oleh Allah dan seorang mukmin yang lemah.”
Justeru itu Islam menyeru supaya mengajar anak-anak berenang, memanah dan menunggang kuda, Saranan ini terdapat dalam hadith-hadith Nabi seperti berikut:
Al-Tabrani meriwayatkan dengan sanad-sanad yang baik dari Rasulullah s.a.w. ia bersabda:
“Setiap sesuatu yang bukan zikir kepada Allah adalah perkara yang melekakan, melainkan empat perkara: Berjalan untuk tujuan memanah, menunggang kuda, memadu kasih bersama-sama isteri dan mengajar anak-anak berenang.”
Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya bahawa Nabi s.a.w, telah membaca firman Allah: Maksudnya:
“Bersiap-sedialah untuk musuhmu dari kekuatan sekadar daya upayamu.”
(al-Anfal:60)
Kemudian baginda bersabda lagi:
”Tidakkah kekuatan itu dengan memanah, tidakkah kekuatan itu dengan memanah, tidakkah kekuatan itu dengan memanah.”
Diriwayatkan oleh Bazzar dan al-Tabrani dengan sanad yang sahih juga dari Rasulullah s.a.w. bahawa ia telah bersabda:
“Kamu seharusnya belajar memanah kerana itulah sebaik-baik perkara yang menghiburkan kamu.”
Al-Bukhari dalam Sahihnya telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. melalui suatu kumpulan memanah yang terdiri daripada sahabat-sahabat. Baginda lantas memberi perangsang dan semangat seraya berkata:
“Lontarlah panah, aku bersama kamu semua.”
Dalam Sahih Bukhari dan Muslim terdapat kenyataan bahawa Nabi s.a.w. telah memberi keizinan kepada orang Habsyah bermain anak panah di dalam masjidnya yang mulia dan membenarkan isteri Aisyah r.a. menyaksikan permainan mereka, sedang Rasulullah berkata kepada mereka:
“Teruskan bermain wahai Bani Arfidah.”
Pada suatu masa, ketika mereka sedang bermain di sisi Rasulullah s.a.w. dengan anak panah, tiba-tiba Saiyidina Umar al-Khattab masuk lalu tunduk mengambil ketulan batu dan membaling mereka yang sedang memanah itu. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Biarkan mereka wahai Umar.”
Ashab al-Sunan dan Imam Ahmad telah meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w.:
”Tidak ada pertaruhan melainkan pada perlumbaan unta, kuda dan memanah.”
Perkara ini diharuskan kerana ia merupakan pertaruhan yang mempunyai kesan yang besar dalam persediaan teknik perang dan berjihad.
6. Berjimat cermat, memadai dengan apa yang ada dan tidak tenggelam dengan kemewahan hidup:
Ini perlu supaya apabila dewasa nanti, anak-anak akan tahan menanggung kewajipan berjihad dan berdakwah untuk Allah dengan sebaik-baik dan sebijak-bijaknya. Seruan agar berjimat dan memadai dengan apa yang ada dapat melatih hidup anak-anak dalam kesusahan. Seruan ini banyak terdapat dalam hadith: Imam Ahmad daripada Abu Nuim daripada Muaz bin Jabal r.a. (hadith marfuk):
“Jauhilah dari bersenang-senang dengan nikmat kerana sesungguhnya hamba Allah bukanlah dari mereka yang suka bersenang-lenang.”
Rasulullah s.a.w. telah menunjukkan contoh teladan di mana baginda hidup dalam serba kekurangan dan kesusahan dari segi makan minum, pakaian dan rumahtangga supaya generasi Islam boleh mencontohinya dan mengikut pertunjuk dan sunnahnya. Generasi tersebut diharapkan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.
Umat Islam yang tenggelam dalam kenikmatan hidup akan terus hidup dalam kelazatan, tidur dengan nikmat dan dibaluti badan dengan sutera yang halus. Digodai oleh kemajuan material yang sentiasa mencabar. Dengan itu akan tiba masa umat Islam runtuh dan menyerah kalah kepada tindak tanduk musuh. Lambat laun akan pudarlah pula dalam jiwa pemuda-pemudi, sifat sabar semangat usaha dan berjihad untuk jalan Allah.
Tidakkah sejarah kejatuhan Andalus masih lagi terbayang dalam ingatan kita.
7. Berusaha, berdikari dan elakkan diri daripada terumbang-ambing tanpa berakhlak baik.
Bimbingan-bimbingan Nabi banyak terdapat dalam hadith, antaranya:
Muslim meriwayatkan dalam Sahihnya daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda:
“Lakukan dengan penuh minat apa yang memberi faedah kepadamu dan pohon perlindungan dari Allah dan jangan merasa lemah.”
AI-Tabrani dengan isnad yang sahih meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda:
“Tiap suatu yang bukan zikir kepada Allah adalah suatu kelekaan dan melalaikan melainnkan empat perkara. Seorang yang berjalan untuk tujuan memanah, menguruskan kuda, memadu kasih bersama-sama isteri dan mengajar berenang.”
AI-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda:
“Seorang yang berzina tidak akan berzina sedang kan ia seorang yang beriman. Seorang pencuri tidak akan mencuri sedang ia beriman dan seseorang tidak meminum arak sedang ia beriman.”
Muslim dan lain-lainnya telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w.maksudnya:
“Dua golongan ahli Neraka yang tidak pernah aku lihat, suatu golongan yang mempunyai tongkat seperti ekor lembu yang digunakan oleh manusia untuk memukul, suatu golongan lagi wanita-wanita memakai pakaian tetapi seperti bertelanjang, suka memikat dengan Ienggang-lenggok, lemah-gemalai, kepala mereka seperti belakang unta. Mereka tidak masuk syurga malahan tidak mencium baunya sekalipun baunya boleh (didapati dari jarak begini (jarak yang dekat),”
Ini adalah beberapa hadith Rasulullah s,a,w. yang memberi saranan bernilai kepada manusia supaya berusaha dan bersifat istiqamah, menghindar diri daripada keburukan dan keruntuhan akhlak. Sudah menjadi lumrah sekiranya seorang anak dibesarkan dalam keruntuhan akhlak, personalitinya akan hancur lebur, jiwanya menjadi kompleks dan fizikalnya akan terdedah kepada berbagai-bagai bahaya penyakit.
Oleh itu para pendidik, terutama ibu-ibu hendaklah melengkapkan diri anak-anak mereka, sejak kecil lagi, dengan sifat-sifat yang teguh, rela menempuh kesusahan, menjauhi keburukan, berjuang untuk kebenaran dan mengamalkan akhlak-akhlak yang mulia. Mereka juga seharusnya menjauhkan anak-anak daripada perkara yang meruntuhkan sifat-sifat di atas dan membunuh akhlak-akhlak yang mulia, dan melemahkan fizikal dan mental mereka. Dengan itu, mental dan fizikal serta semangat mereka akan selamat dan kuat yang akan menjadi pendorong yang kuat untuk mencapai apa yang dicita-citakan.
Itulah asas-asas penting yang telah digariskan oleh Islam dalam membina pendidikan fizikal kepada anak-anak.
Sekiranya asas-asas yang telah disebutkan diberi perhatian sewajarnya maka anak-anak akan menikmati bimbingan dan didikan dengan teguh, segar dan sihat. Dengan itu anda telah menunaikan amanah yang telah dipertanggung jawabkan dan yang telah diwajibkan oleh Allah, kelak anda menemui Allah pada hari Kiamat dengan muka yang putih berseri bersama-sama para nabi, syuhadak dan orang-orang yang salih.
(Kitab rujukan dan panduan "Tarbiatul Awlad" Oleh Abdullah Nasih 'Ulwan)
Monday, December 10, 2007
Didikan Jasmani Anak
-> ABAH & ATUK @ 11:46 AM