Thursday, July 10, 2008

Dosa Lidah : Lidah Bercabang.

Oleh Imam Al Ghazali.

Bencana ketujuh belas: Percakapan dua muka

Orang yang bermuka dua, atau biasanya disebut orang yang mempunyai lidah bercabang, ialah orang yang mendatangi kedua-dua orang yang sedang bermusuh-musuh, seraya berkata kepada setiap satu dari keduanya dengan kata-kata yang menghasut permusuhan antara satu sama lain. Ia sering memuji yang satu dan mencaci yang lain, serta berjanji pula untuk menolong tiap-tiap satu ke atas musuhnya. Inilah tanda-tandanya orang itu seorang munafik.



Akan tetapi jika ia mendatangi kedua-duanya, lalu menyampaikan kata-kata yang manis terhadap setiap satu dari keduanya, sedang segala yang dikatanya itu benar pula, maka ia bukanlah terkira orang yang mempunyai lidah yang bercabang dan bukan juga semorang munafik, sebab memang biasa ada orang yang berkawan dengan kedua-dua orang yang sedang bermusuh-musuhan. Tetapi dalam berkawan itu, dia suka menyampaikan percakapan seorang kepada yang lain, maka ia dicap seorang yang lidahnya bercabang, dan sifat ini adalah lebih buruk daripada sifat mengadu-domba, kerana si pengadu-domba itu hanya membawa cakap-cakap satu pihak kepada pihak yang lain saja. Tetapi orang ini telah melakukan lebih dari itu, yakni membawa cakap kepada kedua-duanya untuk kepentingan dirinya, manakala permusuhan antara kedua orang itu pula dibiarkan saja berlarutan.

Adapun orang yang terpaksa menjaga hati salah satu dari dua pihak yang bertelagah, lalu memjui yang satu tanpa yang lain kerana dharurat, dan ia merasa bimbang hendak meninggalkan perbuatan itu, maka keuzurannya dapat diterima. Sebab memelihara diri dari kejahatan orang adalah harus dan dibolehkan.

Berkata Abu Darda’ r.a.: Adakalanya kita terpaksa menunjukkan kegembiraan kita di hadapan sesuatu kaum, meskipun hati kita menyumpah-nyumpah mereka itu.

Berkata Saiyidatina Aisyah radiallahu-anha: Ada seorang lelaki dating meminta izin berjumpa dengan Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Izinkanlah dia masuk, dan ia adalah seburuk-buruk manusia dari golongan ini. Apabila orang itu masuk, Rasulullah s.a.w. berbicara kepadanya dengan lemah-lembut kepadanya.

Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Aisyah! Sejahat-jahat manusia, ialah orang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.”

Tetapi jangan sampai terkeliru dalam hal ini, kerana yang dibolehkan bersikap serupa ini, hanya ketika menyambut orang datang dengan ramah-tamah dan muka yang tersenyum. Selain dari itu, maka tidak boleh diberikan pujian, atau membenarkan kata-kata, atau menganggukkan kepala tanda persetujuan terhadap segala percakapan yang batil atau salah, kerana melakukan serupa itu adalah munafik. Malah mestilah ia mengingkarinya, jika tiada berkuasa, maka bolehlah ia berdiam diri, tetapi hatinya mestilah mengingkati kelakuan itu. Dan dalam keadaan yang terpaksa ada hukum-hukumnya yang tertentu pula.


No comments: