Bencana Lidah keselupuluh: Bersenda-gurau
Yang dilarang dari bersenda gurauan itu ialah yang tercela darinya, iaitu bila melakukannya amat selalu dan dengan cara yang melampaui batas. Amat selalu kerana ia akan merupakan semacam pekerjaan bagi permainan dan kelucuan, dan melampaui batas pula sebab ia akan menimbulkan terlalu banyak ketawa, dan kadang-kadang sehingga mencetuskan permusuhan pula. Ketika itu akan hilang-lenyaplah perasaan segan dan malu serta saling hormat-menghormati.
Adapun segala senda gurau yang sunyi dari keadaan-keadaan yang tersebut di atas tadi, maka ia tiadalah dikira tercela, sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh nabi s.a.w. sabdanya:
“Aku pun turut bergurau senda, tetapi aku tiada mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka.”
Sebenarnya semua orang boleh melakukan seperti Rasulullah s.a.w., iaitu bila bergurau hanya berkata yang benar saja. Tetapi kebanyakan orang sebaliknya, apabila saja di buka pintu untuk bersenda gurau, maka maksud mereka tiada lain, melainkan hendak mentertawakan orang ramai dengan apa cara sekalipun.
Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: Siapa yang suka bergurau saja, niscaya orang akan memandang ringan terhadapnya.
Said Ibnul-‘Ash berkata kepada puteranya: Wahai anakku! Jangan engkau berani bergurau senda dengan orang yang berpangkat, kelak ia akan memusuhimu, dan jangan pula kepada orang yang rendah budi, kelak ia akan kurang ajar terhadapmu.
Seorang pendita berkata: Setiap sesuatu ada benihnya, dan benih permusuhan itu bersenda gurauan. Yang lain pula berkata: Senda gurauan itu akan merampas akal seseorang dan memutuskan perhubungannya dengan kawan-kawan.
Adalah menjadi suatu kesalahan yang besar, jika seseorang itu menjadikan senda gurauan itu sebagai suatu amalan yang dibiasakan pada setiap hari. Atau bersenda gurau secara melampaui batas kemudian mendakwa bahwa ia berpegang dengan perilaku Rasulullah s.a.w. Orang ini sama seperti orang yang sepanjang harinya bersama-sama dengan orang-orang Habsyi (Negro), bergaul dengan mereka dan menyaksikan tarian mereka, kemudian ia mempertahankan kelakuannya itu dengan hujah, bahwa Rasulullah s.a.w. dulu pernah mengizinkan Siti Aisyah (isterinya) untuk menyaksikan tarian orang-orang Habsyi serupa iaitu pada salah satu hari raya, itu adalah pendapat yang salah.
Kesimpulannya: Jika anda boleh bersenda gurau dengan berkata hanya yang hak dan benar saja, tanpa menyakiti hati orang lain, tanpa berlebih-lebihan dalam senda gurauan anda, tanpa menjadikannya suatu kebiasaan atau amalan sehari-hari, maka tiada mengapalah bersenda gurau serupa itu.
Cuba anda perhatikan bagaimana indahnya senda gurauan Rasulullah s.a.w. iaitu seperti diriwayatkan bahwa seorang tua perempuan telah mendatangi Rasulullah s.a.w. Maka baginda telah bergurau dengannya dengan berkata: Orang tua tidak boleh masuk syurga. Lalu menangislah si perempuan tua itu, tetapi segera pula Rasulullah s.a.w. berkata lagi: Anda tidak lagi menjadi tua bangka pada ketika itu! Lalu dibacakan kepadanya firman Allah Ta’ala.
“Kami (Allah) pertumbuhkan mereka itu (kaum wanita) suatu tumbuhan. Maka Kami tukarkan mereka itu menjadi dara-dara.” (al-Waqi’ah: 35-36)
Dalam sesuatu peristiwa yang lain, diceritakan bahwa ada seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Suamiku menjemputmu ke rumah! Baginda lalu berkata: Siapa dia suamimu itu? Apakah ia yang matanya ada putih-putih itu? Perempuan itu menjawab: Demi Allah, mata suami saya tidak ada putih-putih. Kemudian baginda berkata lagi: Bahkan di matanya ada putih-putih. Perempuan itu tetap menolak dengan berkata: Demi Allah, tidak. Maka barulah Rasulullah s.a.w. menerangkan lagi: Malah setiap orang memang ada pada matanya putih-putih. Maksud baginda ialah putih yang mengelilingi mata yang hitam itu.
Ada seorang perempuan lain yang datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: Wahai Rasulullah! Berikanlah saya seekor unta yang boleh mengenderainya. Baginda berkata: Bahkan kita akan berikan untukmu anak unta supaya engkau mengenderainya. Kata perempuan itu pula: Apa yang akan saya buat dengan anak unta, jika ia tidak boleh mengangkat saya? Jawab Rasulullah s.a.w. Tiada ada seekor unta, melainkan ia dulunya anak unta.
Berkata Anas: Abu Talhah mempunyai seorang putra yang dipanggil dengan nama Abu Umair. Rasulullah s.a.w sering datang kepada mereka dengan berkata: Wahai Abu Umair! Apa khabar anak burung engkau? Kerana Abu Umair memang suka sangat bermain-main dengan anak burung tersebut.
Berkata Siti Aisyah radhiallahu-anha: Saya ikut bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam ghazwah (peperangan) Badar, lalu baginda berkata kepada saya: Mari kita berlumba lari! Maka saya pun menyingsing lengan dan menggariskan satu garisan tanda di tanah, dan dari situ kami pun berlumba lari, tetapi dia (baginda) telah mendahului saya. Kemudian baginda berkata pula: Ini ganti yang dulu di Dzul-Majaz. Dia mengingatkan saya suatu hari dulu, bila kami sedang berada di Dzul-Majaz dan pada ketika itu saya masih kecil lagi. Bapa saya telah memberi saya suatu barang, lalu baginda berkata kepada saya: Berikanlah saya barang itu. Saya enggan memberikan kepadanya, dan saya pun lari. Tiba-tiba baginda berlari di belakang saya, tetapi ia tidak dapat mengejar saya.
Siti Aisyah bercerita lagi: Pada suatu hari isteri baginda Saudah binti Zam’ah berada bersama-sama Rasulullah s.a.w., maka saya pun buatkan makanan khazir, dan bawa makanan itu seraya berkata kepada Saudah: Makan! Saudah menjawab: Saya tak suka makanan ini! Maka saya berkata kepadanya: Demi Allah engkau mesti makan makanan ini, kalau tidak aku akan lumurkan mukamu dengannya. Saudah masih enggan memakannya seraya berkata: Saya tidak ingin memakannya. Maka saya ambil sedikit makanan itu dari dalam piring lalu saya tonyohkan ke muka Saudah, padahal Rasulullah s.a.w. sedang duduk di antara saya dengan Saudah, kemudian baginda merendahkan lututnya untuk Saudah supaya ia boleh membalas. Saudah terus mengambil sedikit makanan itu dari piring, lalu melumurkan muka saya pula. Melihat kejadian itu, Rasulullah s.a.w. hanya ketawa saja.
Dari Abu Salamah pula: Rasulullah s.a.w. sering memanjakan cucuandanya al-Hasan bin Ali r.a dengan menjelirkan lidah kepadanya. Apabila al-Hasan melihat keadaan itu ia ketawa gembira.
Berkata Uyainah al-Fizari: Demi Allah, saya mempunyai seorang anak saja, sekarang ia telah berkahwin dan telah tumbuh rambut mukanya (cambangnya), tetapi saya tak pernah menciumnya sama sekali. Maka baginda pun bersabda:
“Siapa yang tak mempunyai belas kasihan, tak akan dibelas kasihani.”
Semua sifat-sifat kelemah-lembutan ini berlaku pada golongan kaum wanita dan kanak-kanak kecil. Rasulullah s.a.w telah memperlakukan yang demikian kepada mereka kerana memandangkan lemahnya hati mereka, bukan kerana kecenderungannya kepada senda gurau semata-mata.
Pernah sekali Rasulullah s.a.w. berkata kepada Suhaib yang sedang makan korma, padahal ia terkena sakit mata. Kata baginda: Boleh makan korma juga? Bukankah matamu sakit? Jawab Suhaib: Saya makan dengan sebelah mata saja, wahai Rasulullah! Mendengar jawapannya Rasulullah s.a.w. tersenyum saja. Dalam setengah riwayat pula sehingga kelihatan gigi serinya.
Nu’aiman al-Ansari adalah seorang yang suka bergurau. Tiap-tiap kali ia datang ke Madinah ia membeli sesuatu barang di pasarnya, lalu membawanya sebagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata: Wahai Rasulullah! Saya telah membeli ini dan saya hadiahkan untukmu. Sekejap lagi datanglah tuan puya barang itu menuntut harga barang yang dibelinya tadi, maka ia membawa orang itu menghadap Rasulullah s.a.w. dengan berkata pula kepada baginda: Wahai Rasulullah, bayarkanlah harga barang tadi. Baginda pun bertanya kepada Nu’aiman: Bukankah barang itu engkau berikan kepada aku sebagai hadiah? Nu’aiman menjawab: Benar, wahai Rasulullah! Tetapi saya tak punya harganya dan saya suka tuan hamba memakannya. Mendengar yang demikian Rasulullah s.a.w. hanya ketawa, dan segeralah baginda membayar harganya.
Bersenda gurau semacam ini tidaklah salah dilakukan sekali-sekala tetapi tidak boleh dilakukan selalu sangat.
Thursday, July 10, 2008
Dosa Lidah : Bergurau berlebihan
-> ABAH & ATUK @ 9:44 AM
1 comment:
terhibur hati saya baca gurauan2 Rasullullah SAW.
Post a Comment