Thursday, March 6, 2008

ISLAM MEMBENCI RASUAH.



Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang memberi rasuah dan orang yang menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.

Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan neraka yang sangat pedih.


Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.

Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”. (al-Baqarah : 188)

Perbuatan rasuah ini dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

“Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.
Antara punca berlakunya rasuah ialah :

a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

c) Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

d) Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah,.pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

e) Politik. Sesetengah ahli politik menerima dan memberi rasuah yang dipanggil “wang politik” untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu kerajaan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.



Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya, ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah yang tidak terbendung boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah Negara. Kesan yang lebih mencemaskan lagi apabila pihak kerajaan sendiri mengizinkan penipuan dan merelakan rasuah terkutuk ini. Untuk mengelabukan mata rakyat, Suruhanjaya Diraja, Polis, Tentera dan lain-lain badan kerajaan digunakan dengan beralasan serta berselindung disebalik keselamatan Negara, menjaga ketenteraman awam dan sebagainya. Matlamat kepada agenda penipuan dan rasuah ini hanyalah demi menjaga kepentingan peribadi pihak individu-individu pemerintah.

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka.

Definisi rasuah (bahasa Latin: corruptio daripada kata kerja corrumpere = busuk, rosak, menggoyahkan, memutar balik, menyogok) menurut Transparency International ialah perilaku di jabatan-jabatan atau pejabat-pejabat awam, termasuklah para politikus dan pegawai-pegawai, yang secara tidak wajar dan tidak sah/menurut undang-undang, mengayakan diri atau memperkaya kerabatnya (keroni - keluarga dan sahabat handai), dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka.
Dari sudut undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi:
• melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan.
• penyalahgunaan harta negara.
• merugikan negara
• memperkaya diri sendiri dan kerabat.
Dalam skop yang luas, rasuah "politik" bermaksud penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan peribadi. Bentuk rasuah yang ringan adalah dalam penggunaan pengaruh dan sokongan untuk memberi dan menerima pertolongan, hingga kepada rasuah yang sudah dianggap satu "prosedur rasmi", dan sebagainya. Kemuncak segala rasuah ialah satu keadaan yang digelar pemerintahan oleh para pencuri; iaitu berpura-pura bertindak jujur.
Rasuah yang wujud dalam bidang politik dan pentadbiran/birokrasi mungkin berbentuk sama ada ringan atau berat, terancang atau tidak. Rasuah tidak sekadar memudahkan atau menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, dan penyeludupan.
Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga urusan.


No comments: