Al-Maidah ayat 82: Kebenaran pasti kepada Islam
Tuan Guru. | |
Apabila orang Islam yang berada di Makkah ditekan dan ditindas, hanya mereka yang kuat tahan menghadapi tekanan, orang-orang yang lemah menjadi sasaran. Lalu Rasululah s.a.w. memerintahkan para sahabatnya berhijrah ke Habasyah kerana di negeri itu rajanya baik dan adil iaitulah Najashi al-Ashaf. Selepas itu Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah dan berlakunya peperangan Badar. Beberapa orang pemimpin Musyrikin terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu pengganti-pengganti kepada pemimpin Musyrikin dan yang masih hidup di kalangan mereka berkata, "alangkah baiknya kalau kita mengambil kesempatan membalas dendam terhadap orang-orang Islam yang membunuh pemimpin-pemimpin kita." Terdapat orang-orang Islam yang berhijrah Ke Habasyah. Musyrikin menghantar wakil berjumpa dengan raja negeri tersebut bersama dengan hadiah yang mahal. Mereka beranggapan boleh jadi raja berkenaan bertindak terhadap orang Islam yang berhijrah ke negeri tersebut, sama ada dibunuh ataupun sebagainya. Sudah pasti tindakan itu memuaskan hati golongan Musyrikin yang tebal permusuhannya terhadap orang Islam. Lalu Musyrikin menghantar dua orang yang terkenal dengan bijak bercakap, bijak dalam tipu daya dan berhelah iaitulah Amrul Ibnul 'As dan Abdullah bin Abi Rabi'ah. Mereka berdua mengadap Raja Habasyah. Rasulullah s.a.w. mengetahui berita itu lalu baginda s.a.w. mengutuskan Amr bin Umayyah adh-Dhomri r.a. membawa surat daripada Rasulullah s.a.w. ditujukan kepada Najasyi al-Ashaf, Raja Habasyah. Apabila Najashi menerima surat Rasulullah s.a.w. dan dalam masa yang sama menerima utusan daripada pemimpim musyrikin Makkah lalu Najashi memangil orang Islam yang berhijrah. Yang menjadi jurucakap mereka ialah Ja'afar bin Abi Tolib r.a. lalu Najasyi bertanya kepada Ja'afar, apakah dia Islam? "Apakah ajaran yang dibawa oleh Rasul yang diutuskan kepada kamu?" Lalu Ja'afar menceritakan: "Kami dahulunya menyembah berhala, kami dahulunya membunuh antara satu sama lain, kami dahulunya berzina, kami dahulunya memakan riba, kami dahulunya memakan bangkai dan bermacam-macam kerja maksiat kami lakukan, lalu Allah mengutuskan di kalangan kami seorang rasul yang kami tahu keturunannya dan akhlaknya. "Rasul ini mengajak kami menyembah Allah sahaja, meninggalkan berhala memakan yang halal, dan berlaku baik di antara satu sama lain. "Seterusnya Najashi meminta supaya Ja�afar membaca apakah ayat-ayat yang diwahyikan kepada rasul itu. "Lalu Ja'afar r.a. membaca al-Quran daripada Surah Mariam. Apabila Najashi mendengar al-Quran yang dibaca, kebetulan Najashi memegang kayu di tangannya, tiba-tiba Najasyi menangis kerana khusyuk, diikuti oleh paderi-paderi yang ada di kelilingnya. Najasyi menyatakan, "apa yang dinyatakan ini benar, terang dan nyata bagaimana terang dan nyatanya kayu yang ada di tangan aku ini." Lalu Najasyi menghalau kedua-dua utusan Quraisy dan memulang balik semua hadiah yang dibawa. Bersempena dengan peristiwa ini, Allah Ta'ala menurunkan ayat ini yang bermaksud, "orang yang paling bermusuh dengan orang Islam ialah Musyrikin dan Yahudi. Sementara orang yang bersifat kasih sayang terhadap orang Islam ialah orang Nasrani (Kristian) terdiri dari kalangan paderi-paderi dan pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat yang mengetahui benarnya agama Islam." (Surah al-Maidah: 82). Ini adalah riawayat al-Baihaqi dari Ibnu Ishaq. Sementara itu Ibn Kathir telah mengulas di dalam tafsirnya, bahawa Ibnu Abbas r.a. mengatakan peristiwa ini berlaku ketika hijrah ataupun di ambang hijrah. Manakala Suratul Maidah termasuk di dalam Suratul Madaniyyah. Maka tidak wajar kita mengatakan riwayat ini menjadi sebab turun ayat ini. Ini adalah pendapat seorang dari ulama tafsir. Berkata seorang ulama yang membawa satu riwayat yang lain antaranya juga riwayat al-Baihaqi dari Ibnu Ishaq di mana Najasyi telah menghantar utusan seramai 20 orang menemui Rasulullah s.a.w. Mereka dapati Rasulullah s.a.w. berada di Masjidilharam lalu mereka bertanya kepada Rasululah s.a.w. dengan diperhatikan oleh pembesar-pembesar Quraisy. Mengikut riwayat ini Abu Jahal masih hidup lagi pada masa itu. Rasullah s.a.w. membaca al-Quran apabila mereka mendengar berlinang air mata mereka kerana khusyuk dan mengetahui benarnya apa yang dalam al-Quran lalu mereka menyahut seruan Islam (memeluk agama Islam). Mereka beriman dan mempercayainya. Apabila mereka bangun untuk pulang, mereka telah ditemui dan dihalang oleh Abu Jahal dan beberapa orang pemimpin Musyrikin. Abu Jahal mengatakan, "alangkah buruknya rombongan kamu ini. Kamu datang berjumpa dengan dia, bercakap beberapa patah perkataan, kemudian kamu terus mengikutnya, mudah sangat kamu mengikutnya. Aku lihat inilah rombongan yang paling bodoh sekali." Lalu mereka menjawab, "selamat sejahtera, kami tidak mahu menjadi jahil seperti kamu, bagi kami amalan kami dan bagi kamu amalan kamu. Kami tidak mahu terhalang, tidak mahu menjauhkan diri daripada apa yang baik. Kami mesti mengikuit apa yang baik." - lanh |
No comments:
Post a Comment