Oleh Imam Al Ghazali.
Bencana kedua puluh: Pertanyaan yang pelik-pelik
Memang tidak dilarang bagi orang-orang awam untuk memperbanyakkan amalan-amalan saleh dari berbagai-bagai rupa, tetapi sikap suka bertanya yang bukan-bukan itu memanglah mudah terlintas di dalam hati. Adakalanya orang-orang awam ini suka mendalami dalam perkara-perkara atau liku cabang ilmu pengetahuan, sebab syaitan sering menggambarkan kepada mereka, bahwa mereka itu adalah tergolong para alim ulama yang mempunyai keutamaan dalam ilmu pengetahuan. Hasutan syaitan ini akan terus-menerus mempengaruhi jiwa orang-orang ini, sehingga akhirnya mereka berani berkata sesuatu yang merupakan kekufuran atau terkeluarnya mereka dari Agama Islam, sedangkan mereka tidak mengetahui.
Sebab itulah, sesiapa yang suka bertanya ilmu yang pelik-pelik, sedangkan fahamannya masih belum mampu mencapai darjat fahaman itu, maka ia tentu dicela, tambahan pula jika ia seorang awam, yang pengetahuannya masih cetek dalam serba-serbi liku-liku agama.
Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan:
“Rasulullah s.a.w. telah melarang keras dengan kata-kata qil dan qal,* membelanjakan harta benda dengan boros dan terlampau banyak persoalan.”
[ Qil dan qal dua perkataan istilah yang bermaksud cakap-cakap yang tidak diketahui sumbernya dengan jelas. Dalam bahasa Melayu, bolehlah kita maksudkan dengan ucapan orang ramai: Bukankah katanya begitu! Ataupun: Bukankah kata orang begini! Sedang sumber asalnya tidaklah diketahui, sama ada benar atau tidak. ]
Lalu Nabi Khidir pun berpisah dengan Nabi Musa a.s.*
[ Cerita Nabi Musa dengan Khidhir alaihimas-salam boleh dibaca al-Quran surat al-Kahf ayat 60-68. Ceritanya cukup aneh dan bagus untuk dijadikan tauladan hidup.]
[ Bagi orang yang tidak mengetahui masalah-masalah agama itu, wajib ia bertanya kepada orang yang mengetahui. Hanya ia dilarang untuk mengemukakan masalah-masalah yang berat, yang fikirannya belum dapat menjangkau fahaman serupa itu, ataupun menimbulkan masalah yang pelik-pelik yang belum ada hukumnya dan sebagainya. Tujuannya untuk menghindarkan salah-faham atau kekeliruan dalam memahami hukum-hukumnya, agar tidak tergelincir ke jalan yang salah pula. ]
Kalau begitu nyatalah bahawa pertanyaan orang-orang awam tentang persoalan-persoalan yang pelik-pelik, atau rumit di dalam agama itu, termasuk dalam perkara-perkara besar yang membahayakan, maka seharusnyalah mereka dilarang dari mengemukakan pertanyaan-pertanyaan serupa itu, dan jika mereka melakukan juga, maka haruslah ditegah dengan keras.
Monday, August 4, 2008
Dosa Lidah : Pertanyaan yang pelik - pelik.
-> ABAH & ATUK @ 1:12 PM 1 comments
Dosa Lidah : Kesalahan yang merbahaya.
Oleh Imam Al Ghazali
Bencana kesembilan belas: Menjaga diri dari kesalahan-kesalahan yang merbahaya
Sayugialah seseorang itu menjaga dirinya daripada kesalahan-kesalahan yang merbahaya dalam kandungan percakapannya, dan berhati-hati supaya tidak terlalai dalam perkara ini, terutama sekali bila membicarakan tentang Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sifat-sifatNya. Misalnya sebagaimana yang diutarakan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. berikut:
“Jangan sekali-kali seseorang kamu berkata: Itu adalah kehendak Allah dan kehendakmu. Tetapi katakanlah: Itu adalah kehendak Allah, kemudian kehendakmu.”
Sebab menggunakan perkataan dan di sini menunjukkan pengertian persyarikatan dengan kehendak Allah Ta’ala dan menyamakan Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan kedudukan manusia. Itu adalah salah dan berlawanan dengan tata penghormatan terhadap Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Ibrahim merasa tidak senang bila mendengar orang berucap: Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu. Ataupun jika ada orang berkata: Jika tidak kerana Tuhan dan kerana si fulan…. Berkata demikian adalah salah seperti juga di atas tadi. Tetapi jika ada orang ingin berkata Allah kemudian kepadamu. Ataupun: Jika tidak kerana Allah kemudian kerana si fulan…
Dalam hal ini Ibnu Abbas r.a. berkata: Seseorang kamu boleh bersyirik kepada Allah, ketika ia mensyariatkan anjingnya dalam sesuatu perbuatan. Misalnya ia berkata: Kalaulah tidak kerana anjing kita itu, tentualh kita telah kecurian malam semalam.
Saiyidina Umar Ibnul-Khattab ketika mengulas sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi.
“Sesungguhnya Allah Ta’ala melarang kamu bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa kamu.”
Katanya: Sesudah saya mendengar Hadis itu, saya tidak pernah bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa saya.
Berkata Abu Hurairah r.a.: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Janganlah seseorang kamu mengatakan: Hambaku atau amahku (hamba perempuan). Kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan sekalian wanita kamu adalah amanah Allah. Tetapi katakanlah: Budakku atau jariahku. Begitu juga si hamba itu janganlah mengatakan: Rabbi atau Rabbati* tetapi katakanlah: Tuanku atau puanku, sebab kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan perkataan ar-Rab ialah bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.
* Perkataan Rabbun dalam bahasa Arab selain menunjukkan makna Tuhan juga dimaksudkan dengan tuan punya. Jadi perkataan Rabbi atau Rabbati memberikan maksud tuan punya saya atau puan punya saya. Oleh kerana sebutan seperti itu boleh mengelirukan orang, maka Rasulullah s.a.w. telah melarang orang menggunakannya.
Berkata Rasulullah s.a.w.:
“Jangan kamu memanggil orang munafik dengan perkataan Saiyidina (Tuanku), sebab kalau benar ia menjadi tuan kamu, niscaya kamu telah menyebabkan Tuhan kamu murka kepadamu.”
Tegasnya setiap orang yang berucap itu, hendaklah disertai dengan kewara’an yang dapat memeliharanya dari segala kesalahan-kesalahan serupa itu, dan hendaklah sentiasa berhati-hati agar ia terselamat dari bahaya-bahaya yang tersebut tadi.
-> ABAH & ATUK @ 1:05 PM 0 comments
Dosa Lidah: Memuji
Oleh Imam Al Ghazali.
Bencana kedelapan belas: Memuji
Memuji orang, adakalanya dilarang pada setengah-setengah tempat. Mencela pula samalah seperti mengumpat atau merendahkan kedudukan orang lain, dan hukumnya telah kita sebutkan sebelum ini.
Dalam pujian itu, ada enam pula bahayanya. Empat bahaya bersangkut-paut dengan orang yang memuji dan dua bahaya yang lain ialah orang yang dipuji.
Bahaya-bahaya yang bersangkut-paut dengan si pemuji itu ialah;
Pertama: Bila ia berlebih-lebihan dalam pujiannya, sehingga kesudahannya menjadi dusta pula.
Kedua: Dengan adanya pujian itu, timbul perasaan riya’ di dalam diri seolah-olah ia menunjukkan cintanya terhadap orang yang dipujinya itu. Adakalanya dalam pujian itu ia, memendamkan perasaan yang tak senang terhadap orang yang dipujinya ataupun ia sendiri tidak meyakinkan semua kata-kata pujiannya itu, maka dengan demikian, ia telah menjadi seorang yang riya’ dan munafik sama.
Ketiga: Dengan adanya pujian itu, ia telah mengatakan sesuatu yang ia sendiri belum tahu, sama ada betul atau tidak yakni ia belum sempat menyelidiki hakikat kata-kata pujiannya itu.
Keempat: Dengan adanya pujian itu, mungkin sekali ia telah menggembirakan hati orang yang dipujinya, meskipun orang itu seorang yang zalim atau fasik, manakala memberikan pujian kepada mereka itu dalah tidak harus.
Berkata al-Hassan r.a.: Sesiapa yang mendoakan bagi seorang yang zalim supaya panjang umur, maka seolah-olahnya ia suka dan redah orang itu melakukan maksiat terhadap Allah di bumiNya.
Tentang bahaya-bahaya yang boleh menimpa orang yang dipuji pula, iaitu:
Petama: Dengan menerima pujian itu, akan timbul dalam dirinya perasaan bongkak dan ujub, dan kedua-duanya termasuk sifat yang membinasakan.
Kedua: Dengan menerima pujian itu, hatinya akan merasa gembira dan sangat senang, dan sesudah itu akan menjadi cuai tentang kesalahan-kesalahannya, dan menganggap dirinya sudah sempurna disebabkan pujian itu. Kemudian usahanya akan berkurang untuk membuat amalan-amalan yang baik.
Sekiranya pujian itu dapat menyelamatkan orang dari bahaya-bahaya ini, sama ada pada diri si pemuji mahupun yang dipuji, maka tidak mengapalah untuk memberikan pujian itu, malah dalam setengah-setengah perkara mungkin menjadi sunnat, yakni digalakkan.
Seterusnya orang yang dipuji itu hendaklah berhati-hati menjaga dirinya dari bahaya-bahaya sifat bongkak dan ujub, dan juga dari bahaya keteledoran. Hendaklah ia sentiasa ingat, bahwa ia lebih mengetahui tentang dirinya dari yang diketahui oleh si pemuji itu, dan andaikata segala rahsia dirinya terbongkar di hadapan orang yang memujinya itu, dan segala lintasan hatinya dapat disingkapkan olehnya tentulah orang itu tidak mahu memujinya.
Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika ia dipuji orang, selalu berdoa begini: Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah aku terhadap segala yang mereka tidak mengetahuinya. Janganlah menyalahkan aku kerana apa yang mereka katakan itu, dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan.
Sepatutnya orang yang mahu memuji terhadap seseorang itu, hendaklah ia tidak tergesa-gesa memberikan pujiannya, melainkan setelah ia mengetahui benar-benar tentang diri orang yang hendak dipujinya serta kebatinannya.
Sekali peristiwa, pernah Saiyidina Umar Ibnul Khattab mendengar seorang memuji orang lain, beliau lalu berujar, katanya: Pernahkah engkau memuji orang lain, beliau lalu berujar, katanya: Pernahkah engkau bepergian bersama-sama orang itu? Jawab si pemuji itu: Belum pernah! Berkata Umar lagi: Pernahkah engkau membuat perjanjian atau bermu’amalah dengannya? Kata orag itu: Belum. Umar berkata lagi: Pernahkah engkau bersama-samanya pada pagi dan petang? Katanya: Tidak. Lalu Saiyidina Umar berucap: Demi Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, aku tak fikir engkau sudah benar-benar mengenalnya.
Dalam sebuah Hadis:
“Sekiranya seseorang kamu terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah ia berkata: Saya kira si fulan itu begini dan saya tidak mensucikan seseorang manusia pun atas Allah”
Type the rest of the article here (body).
-> ABAH & ATUK @ 11:35 AM 0 comments